Thursday, March 26, 2009

Solat.....

Ada yang bertanya… Adakah Allah SWT menerima solat yang dilakukannya, padahal dalam masa yang sama dia masih banyak melakukan dosa?
Cuba ikuti situasi ini:

"…Bolehkah anda bayangkan bagaimana perasaan seorang anak yang lari meninggalkan rumah, kemudiannya kembali semula setelah menghadapi kesulitan dan kepayahan. Ketika ia tiba di ambang pintu rumahnya, tangannya merasa berat untuk mengetuk daun pintu. Tetapi dalam keadaan terdesak dan tiada pilihan, ia terpaksa pulang ke pangkuan orang tuanya, dalam keadaan berat ia memberanikan diri untuk memasuki rumah tersebut dan sekaligus ia menghadap orang tuanya.

Sukar untuk dibayangkan betapa malunya dan berat hatinya untuk menemui kembali orang tuanya, lebih-lebih lagi mengingatkan tindakannya yang lalu begitu nekad untuk melawan dan menyinggung perasaan orang tuanya yang penyayang itu, ia bersikap biadap terhadap mereka. Kini ia terpaksa pulang semula dengan kehadiran membawa hati yang insaf bercampur malu serta mengharap bahawa segala kesalahannya yang lalu akan dimaafkan."

Itu suatu contoh dan gambaran perasaan yang sepatutnya ada pada setiap kali seseorang itu hendak mendirikan solat. Ia datang sebagai seorang hamba yang pernah meninggalkan dan tidak mematuhi arahan Tuhannya, tetapi terpaksa datang semula kerana ia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menemui Tuhannya melalui solat tersebut atas kesedaran bahawa hanya kepadaNya tempat ia mengharap keampunan.

Namun begitu, sifat lemah lembut atau halus budi bicara Allah SWT itu telah melimpahkan rahmat-Nya, sehingga meskipun manusia sebagai hamba ini hanya melakukan ibadah terlalu sedikit, namun Allah Yang Maha Latif itu dengan segala kemurahanNya memberikan ganjaran yang lebih. Dan mereka yang bersungguh-sungguh menyesali kesilapnya yang lepas, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

"…Umpama seorang fakir yang memberi hadiah sebiji durian kepada orang kaya, sedangkan orang kaya itu kalau membeli durian, bukan kira biji, tetapi kira bakul. Namun orang kaya yang bersikap lemah lembut tentunya tidak memperkecilkan hadiah si fakir itu, malah ia tetap menghargai dan menganggap bahawa si fakir itu telah berusaha keras untuk melakukan kebaikan."

Allah SWT lebih dari itu, dan apa yang diusahakan oleh hamba-Nya dengan tujuan untuk menghindarkan dirinya dari bencana api neraka itu tetap mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT. Oleh itu, wajarlah kta memperbaiki diri kita agar dipandang mulia oleh Allah SWT, dengan menginsafi kesalahan & derhaka yang pernah kita lakukan terhadapNya sebelum ini.

(Dipetik dati buku "Khusyuk Dalam Solat")

No comments: