Tuesday, March 10, 2009

Bersemuka: Sistem kapitalis jahanamkan nilai kemanusiaan

KRISIS ekonomi global yang sudah 'menjenguk' ke negara kita, memerlukan tindakan bukan saja oleh kerajaan dan badan tertentu, malah setiap individu. Namun, isu ini perlu dilihat dari segi sejarah elemen sistem kapitalis dan pendekatan Islam untuk menanganinya. Wartawan Berita Harian, HASLIZA HASSAN menemubual Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Nik Mustapha Nik Hassan, juga bekas Dekan Kuliah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk mengulas lanjut isu ini. Kewangan Islam utamakan keadilan, bantu golongan miskin berkesan tangani krisis antarabangsa Kemelut ekonomi kini melanda dunia dan negara kita turut terkena tempias itu. Jadi, apakah pendekatan sesuai untuk menangani krisis ekonomi ini, terutama tindakan individu.
Di sini, pandangan agama dan Islam ada sebagai pembuka minda, iaitu berbelanja ikut kemampuan dan keperluan. Ukur baju pada badan sendiri.... kata-kata orang tua itu penuh hikmah kerana fikirkan kemampuan dulu baru keperluan. Maknanya kembali kepada ideologi bersandarkan agama kerana sistem yang diasaskan bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan inilah masalahnya. Fahaman Marxis terpaksa hancur kerana bercanggah dengan nilai kemanusiaan, tidak boleh memiliki harta dan semua ditentukan pemerintah. Kapitalis pula kebebasan mutlak, layan nafsu hingga melakukan eksploitasi dan penindasan. Pendekatan kerohanian tidak ada. Dalam Islam ada fardu ain dan fardu kifayah. Harta awak saya tidak boleh ambil dan itu tidak boleh dipertikaikan tetapi kita dilatih dengan tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat contohnya melalui amalan zakat. Jika saya kaya, saya perlu bayar zakat bagi membantu mereka yang memerlukan. Sebaliknya dalam ideologi kapitalis, seperti lahirnya kadar faedah dalam sistem perbankan ialah untuk kepentingan diri. Pendekatan itu yang melahirkan kepincangan kerana tiada kasih sayang serta muafakat. Apa yang nak dipupuk ialah kasih sayang dan muafakat umat manusia. Bagaimana pula peranan organisasi seperti sektor swasta. Sektor awam dan swasta mesti memainkan peranan masing-masing. Tetapi sistem kapitalis tidak iktiraf gabungan peranan kedua-duanya. Hakikatnya sekarang mereka terpaksa iktiraf peranan kerajaan menyelamat syarikat kewangan yang menghadapi masalah seperti dilakukan Amerika Syarikat (AS). Sebenarnya, di samping peranan kerajaan, sektor swasta juga berperanan membangunkan negara dalam semua aspek, termasuk akhlak dan kemajuan ekonomi. Jika sektor swasta dapat berperanan secara positif dan produktif, sudah pasti bebanan sektor awam dapat dikurangkan. Ekonomi muafakat menjalin keharmonian dan kestabilan ekonomi. Di sinilah akhirnya kita melihat perlunya untuk kembali kepada agama yang jelas mempunyai cara membangunkan ekonomi dengan adil.
Apa kaitan krisis ekonomi dengan sistem ideologi. Krisis ekonomi dihadapi dunia bukan sesuatu yang baru tetapi keadaan kini tercetus berikutan kumulatif yang berlaku selama ini, disebabkan oleh sistem itu sendiri. Ini krisis ideologi, bukan krisis tidak cukup barangan atau tidak cukup makan. Sistem kapitalis yang diguna pakai menimbulkan banyak masalah kepada kebajikan rakyat. Berapa bilion orang hidup di bawah paras kemiskinan di dunia kerana sistem yang dominan di seluruh dunia sekarang ini ialah sistem kapitalis. Apa yang berlaku seperti kemiskinan di serata dunia menggambarkan wujudnya ketidakadilan dan penindasan. Ini bukan baru. Jadi apa yang boleh kita rumuskan, krisis ekonomi yang berlaku sekarang berpunca daripada sistem yang bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Seperti keruntuhan Maxis pada awal 1990-an kerana bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat sekarang, mereka menanggung hutang yang banyak iaitu AS$50 trilion (RM185 trilion) menyebabkan mereka berdepan masalah ekonomi. Ia juga berpunca daripada sistem ideologi tidak memenuhi fitrah manusia. Ekonomi AS sekarang tenat dan jika hutang makin bertambah, bagaimana hendak bayar hutang. Bagaimana sistem ideologi kapitalis ini menjurus kepada keadaan sekarang jika ia sudah dipraktikkan sejak dulu, kenapa kesan cuma dirasai hari ini. Kesannya dirasai hari ini kerana manusia sudah lari jauh daripada fitrah kehidupan sebenar. Memang sistem ini sudah dipraktikkan dulu tetapi sekarang kita sedar sudah tidak mampu untuk memikul bebanan hutang dan ia terus terkumpul disebabkan sistem yang mengawal kehidupan itu. Maka lebih jelas sekarang bahawa sistem ideologi ini tidak memenuhi tuntutan manusia kerana asas kepada falsafah sistem kapitalis bersandarkan kebendaan iaitu materialisme. Falsafah ini melihatkan faktor kebendaan sebagai penentu segala-galanya hingga manusia juga ditakrifkan sebagai manusia ekonomi. Falsafah itu menjadikan andaian hidup untuk memuaskan nafsu, maka lahirlah pendekatan hidup hendonisme. Daripada pemahaman hidup sedemikian, lahirlah gelagat kepenggunaan, hidup untuk memperoleh barangan dan perkhidmatan.
Ini juga ada kaitan dengan gaya hidup yang suka berhutang dan pendekatan ideologi kapitalis Ya, ini mewujudkan masyarakat berhutang. Disogok pula dengan mekanisme kewangan seperti penggunaan kad kredit. Ini termasuk individu, kerajaan dan syarikat. Hidup di luar kemampuan kerana andaian manusia untuk memenuhi kepuasan nafsu. Pendekatan pertama ideologi ini sudah melihat kepincangannya kerana disebabkan melihat kebendaan maka lahirkan kerakusan. Itu yang datang pula konsep laisser faire atau kebebasan mutlak. Ciri kedua ideologi kapitalis ialah individualisme yang mana kejayaan dinilai dengan mempamerkan kekayaan seperti rumah besar. Kemampuan kita buat rumah RM100,000 tetapi buat rumah harga RM200,000 kerana hendak tunjuk pada orang, kita berjaya. Akhirnya tidak cukup duit, maka berhutanglah. Kelakuan ini menyebabkan kita menjadi hamba hutang dan itulah gaya hidup yang berlaku sekarang. Berdasarkan ideologi kapitalis, apa yang kita buat untuk kekayaan sendiri, menyogokkan kepentingan diri dan apabila kepentingan diri diberi tempat istimewa, lahirnya kerakusan serta penindasan. Keadaan ekonomi dalam negara kini dikatakan sudah terpalit meskipun belum lagi meleset Doktor apabila dia periksa nadi, tengok mata dan mulut, dia sudah boleh buat gambaran mengenai penyakit itu. Kita lihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Oktober hingga Disember 2008, KDNK kita ialah RM131.3 bilion, suku ketiga sebelum itu – Julai hingga September 2008, KDNK kita RM136.2 bilion. Kejatuhan 3.6 peratus itu menunjukkan penguncupan untuk tiga bulan. Tetapi ukuran ekonomi biasanya untuk setahun namun, jika tiga bulan terakhir mengucup 3.6 peratus, itu sudah ada tanda. Kedua kita lihat pula mengikut sektor seperti sektor pembuatan merosot 12 peratus daripada RM40.3 bilion kepada RM35.3 bilion, pertanian 10.8 bilion kepada 9.9 bilion (RM1 bilion dalam dalam masa tiga bulan), begitu juga pembinaan jatuh daripada RM4 bilion kepada RM3.9 bilion. Eksport kita juga jatuh suku ketiga tahun lalu (Julai hingga September) kita eksport RM185 bilion. Suku keempat Oktober hingga Disember tahun lalu eksport kita ialah RM151 bilion, kejatuhan 18 peratus. Begitu juga import jatuh 17 peratus antara suku ketiga dan keempat, sektor pembuatan jatuh 20 peratus, elektronik jatuh 20 peratus, minyak jatuh daripada RM12.4 bilion kepada RM8.3 bilion, kelapa sawit daripada RM15.5 bilion kepada RM9.3 bilion. Kita negara pengeksport ke-17 terbesar dan lebih kurang 60 peratus ekonomi kita bergantung pada perhubungan dengan luar negara. Apa gambarannya? Ciri ini menggambarkan masalah akan tiba dan sudah tiba tetapi tidak turun ke bawah lagi. Bagaimanapun, sudah ada yang dibuang kerja. Petanda sudah ada dan dunia tidak nampak pintu lagi sebaliknya mengharap kepada pakej rangsangan dikemukakan Presiden AS, Barack Obama sebanyak AS$878 bilion masih tidak mampu memulihkan ekonomi AS dalam tempoh terdekat. Mereka terpaksa meminjam juga untuk membiayai pakej itu. Pinjaman dalam konteks Amerika, dia isu bon dan yang banyak beli bon sekarang ialah China diikuti Jepun dan Asia Barat. Tetapi berapa lama? Memang kita tidak mahu rakyat panik tetapi ini adalah kenyataan dan kenyataan ini tidak memalukan. Jika anda dibuang kerja, bukan memalukan, bukan kerana prestasi tidak baik tetapi kerana keadaan memaksa. Sekarang tidak boleh kata saya prestasi baik tidak boleh dibuang kerja. Jika hujan lebat menyebabkan banjir dan rumah kita rosak, itu bukan bermakna rumah kita tidak bagus tetapi hujan di luar dugaan. Memang kita tidak mahu rakyat panik tetapi persediaan itu penting. Apa saranan bagi menghadapi situasi ini terutama dalam konteks Malaysia sendiri. Kerajaan sudah ada persediaan melalui Bajet Mini pertama dan kedua yang akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, hari ini. Bagaimanapun, kita bakal berdepan dengan isu membiayai kerana pendapatan kerajaan juga menurun disebabkan minyak jatuh, komoditi kelapa sawit, getah juga jatuh. Jika kita berjiwa besar, kita tidak boleh mengguna dasar fiskal dan kewangan saja mengatasi masalah itu. Ini krisis ideologi dan penyelesaian ialah transformasi ideologi. Bukanlah bermakna dasar fiskal dan kewangan tidak boleh guna tetapi pemerintah kena tengok lebih jauh untuk jangka masa panjang. Untuk meredakan keadaan, dasar fiskal boleh tetapi perlu ada alternatif. Ini yang dikatakan teras kepada keadilan ekonomi iaitu penyusunan ekonomi semasa menepati tabii kemanusiaan bermasyarakat. Sistem kapitalis tidak sesuai lagi kerana jika sistem itu baik tidak wujud golongan miskin, tidak wujud mereka yang melarat dan tidak akan wujud penindasan. Sudah tiba masa membina serta mendidik pandangan hidup yang sempurna. Sistem ekonomi hendaklah berusaha kepada pelaksanaan prinsip keadilan dan muafakat dalam penyusunan ekonomi bernegara. Kita mesti menukar pandangan rakyat terhadap kemelut ekonomi di samping saranan supaya hemat berbelanja dan tidak membazir. Kita perlu ada persediaan lebih awal, kemuncaknya kena berjiwa besar kepada pendekatan bersandar nilai kemanusiaan.
Sumber :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/20090309220739/Article/

No comments: