Monday, June 18, 2012

Bendung fahaman ateisme daripada pengaruhi minda

Oleh Siti Rohaida Mat Isa




2012/06/18

ATEISME bukan dianggap sebagai agama tetapi satu kepercayaan yang menafikan atau menidakkan kewujudan Tuhan sebagai Pencipta langit dan bumi. Mereka berfahaman ateisme menolak kewujudan Tuhan disebabkan tidak dapat melihat Tuhan dengan mata kasar.



Mereka juga tidak dapat mendengar serta berinteraksi dengan Tuhan. Inilah antara punca utama mereka menafikan kewujudan Tuhan berdasarkan logik akal dan kajian tersendiri. Ateisme sebenarnya lebih berbahaya daripada golongan murtad (keluar Islam) kerana mereka langsung tidak mempunyai pegangan agama dengan alasan kewujudan Tuhan satu khayalan dan rekaan semata-mata. Ateisme sebenarnya lebih berbahaya daripada golongan murtad (keluar Islam) kerana mereka langsung tidak mempunyai pegangan agama dengan alasan kewujudan Tuhan satu khayalan dan rekaan semata-mata. Oleh itu, fahaman ini tidak boleh dipandang enteng kerana fahaman ini jelas bertentangan akidah Islam. Sesungguhnya, agama Islam yang dibawa Rasulullah SAW adalah agama yang mentauhidkan Allah Taala sebagai Tuhan Pencipta langit dan bumi ini.



Setiap manusia yang berpegang pada ajaran Islam wajib mempercayai kewujudan Allah Taala berdasarkan firman yang bermaksud: “Allah yang mencipta setiap sesuatu dan Dialah yang mentadbir serta menguasai segala-galanya.” (Surah Az-Zumar, ayat 62).



Ayat itu menjelaskan Allah Taala Pencipta setiap makhluk atau ciptaan termasuklah langit, bumi, planet dan segala cakerawala yang terdapat di ruang angkasa.



Golongan berfahaman ateisme menggunakan logik akal semata-mata dan berpendapat dengan mengutarakan satu contoh bahawa Tuhan mampu mencipta batu yang berat tetapi Tuhan sendiri tidak mampu mengangkat batu itu.

Hujah mereka ini sama sekali tidak tepat kerana kewujudan Allah Taala tidak dapat difikirkan dengan akal pemikiran biasa dan terhad. Pendapat mereka sudah dijawab melalui firman Allah Taala yang bermaksud: “Apakah manusia mengira, bahawa Kami (Allah) tidak akan mengumpulkan tulang belulangnya? Bahkan Kami (Allah) berkuasa menyempurnakan jari-jemarinya dengan sempurna.” (Surah Al-Qiyamah, ayat 3-4).



Melalui keterangan ayat Allah Taala, kita jelas dapat memahami Allah mampu mencipta kejadian hujung jari bagi setiap diri manusia itu berbeza-beza dan hal penciptaan ini tidak dapat dirungkaikan melalui logik akal atau pemikiran manusia biasa.



Kita tidak mampu menyingkap rahsia di sebalik bilangan manusia yang begitu ramai di atas muka bumi Allah yang maha luas ini, akan tetapi tetapi kejadian atau penciptaan setiap hujung jari mereka tidak sama antara satu sama lain. Ini keajaiban dan keunikan ciptaan Tuhan yang Maha Esa.



Untuk penjelasan lanjut, Allah Taala telah mencipta kejadian hujung jari itu untuk dijadikan pengenalan diri bagi setiap individu sebagai contoh cap ibu jari. Justeru itu, kita sebagai umat Islam diwajibkan mempercayai dan meyakini kewujudan Allah Taala tanpa mempertikaikannya di atas bukti keunikan dan keajaiban penciptaan Allah Taala.



Ini jawapan, bukti dan keterangan yang jelas menunjukkan bahawa pendapat logik akal yang dipegang oleh golongan aties itu tidak benar sama sekali.



Di samping itu, kita sebagai umat Islam hendaklah mengakui dengan kata iktikad atau pegangan dua kalimah syahadah iaitu “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.”



Dua kalimah syahadah ini adalah paksi utama pegangan bagi setiap Muslim dan Muslimah. Sekiranya mereka melanggar pegangan atau penyaksian ini, mereka dianggap sebagai kufur dan terkeluar daripada agama Islam.



Maka fahaman ateisme yang menolak kewujudan Tuhan sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW.



Kita hendaklah berjaga-jaga dan membendung fahaman ateisme daripada mempengaruhi minda dan pemikiran umat Islam di Malaysia. Fahaman dan kepercayaan ini racun yang boleh merosakkan ajaran dan syariat Nabi Muhammad SAW kerana hanya ‘bertuhankan’ logik akal pemikiran serta menolak kewujudan Tuhan.



Maka, tidak hairanlah mereka yang menafikan kewujudan Tuhan ini mempunyai nilai moral dan pegangan hidup yang longgar. Disebabkan tiada pegangan agama, mereka bisa melakukan apa saja mengikut hawa nafsu.
 
(Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bendungfahamanateismedaripadapengaruhiminda/Article)

No comments: