Monday, November 23, 2009

Artikel

Penulis buku teks dua subjek dicari
Oleh Nazmi Yaakubbhnews@bharian.com.my
Sains, Matematik guna bahasa Melayu 2011 KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mencari penulis buku teks mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dipercepatkan secara berperingkat daripada 2012 kepada 2011. Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah mengeluarkan iklan tawaran itu bagi buku teks yang akan digunakan pada 2011, manakala penilaian kepada penulis dibuat oleh Jawatankuasa Buku Teks dan Kurikulum berdasarkan piawaian yang ditetapkan. Beliau berkata, langkah mempercepatkan pemansuhan itu diputuskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila ada iltizam yang kuat dari Bahagian Kurikulum dan Buku Teks untuk mempersiapkan buku teks itu awalBeliau berkata demikian selepas melancarkan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Kelima di DBP, di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz; Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Che Ibrahim Salleh dan Pengerusi seminar, Dr Mohd Sharifudin Yusop. Mohd Puad berkata, ramai yang tidak faham apabila PPSMI diperkenalkan, taraf mata pelajaran Sains dan Matematik juga diturunkan untuk disesuaikan dengan dasar terbabit. Katanya, apabila kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan PPSMI, kurikulum yang digunakan dalam dasar itu perlu dirombak kembali dan dinaikkan tarafnya semula.
"Kita kena buat benda baru dan cetak buku baru, sekali gus menyebabkan kita tidak boleh terburu-buru dan apabila tidak meneruskannya, esok juga kita kena laksanakan pengajaran serta pembelajarannya dalam bahasa Melayu," katanya. Sementara itu, beliau menggesa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam pengendalian mesyuaratnya, termasuk mesyuarat lembaga pengarah.

No comments: