Thursday, November 5, 2009

Agama

Cegah kemungkaran secara berhemah
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PERASAAN kasih sayang yang wujud dalam diri insan merupakan fitrah ciptaan Allah SWT kepada setiap makhluk-Nya.
Kasih sayang merupakan penghubung kepada konsep persaudaraan dalam Islam. Kasih sayang yang diajar oleh Allah SWT mempunyai pengertian mendalam iaitu kasih sayang di dunia dan di akhirat.
Berdasarkan kepada elemen kehidupan di akhirat merupakan destinasi terbaik, maka Allah SWT mengutuskan 25 rasul dan beribu-ribu nabi. Nabi dan rasul inilah yang bertanggungjawab mendidik manusia mengenai peraturan dan perundangan yang perlu dipatuhi jika mereka ingin mencapai kebahagiaan hidup di akhirat.
Berdasarkan kepada kepercayaan tentang kewujudan alam akhirat dan pembalasan terhadap kegiatan manusia di dunia, maka umat Islam yang beriman kepada Allah SWT lebih menumpukan perhatian kepada kebajikan, ibadah, menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Apabila amalan ini menjadi satu tradisi dalam kehidupan umat Islam, maka setiap individu Islam akan prihatin terhadap saudara sesama Islam dalam mengejar kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Umat Islam yang beriman amat prihatin terhadap kebajikan masyarakat dan berusaha untuk mendidik umat supaya menjadi orang yang beriman dalam pelbagai cara, kegiatan dan tindakan.
Perkara berkaitan dengan kebajikan dan menyeru manusia ke arah kebaikan adalah tidak begitu sukar jika dibandingkan dengan kegiatan untuk mencegah kemungkaran.
Undang-undang Allah SWT yang diwahyukan kepada manusia adalah berhubung kait dengan perkara-perkara berkaitan dengan peribadi dan kemasyarakatan. Umat Islam diwajibkan mengambil berat terhadap individu Islam sama ada berkaitan perundangan peribadi atau kemasyarakatan.
Umat Islam juga diseru supaya prihatin terhadap keperibadian umat Islam kerana kekuatan umat adalah bergantung kepada keimanan setiap individu Islam.
Ketiga-tiga perkara ini merupakan asas utama dalam pembentukan masyarakat Islam yang kukuh, berwibawa dan bermaruah. Bagi memperkukuhkan kedudukan umat Islam sebagai satu umat yang berwibawa, beriman dan bermaruah, Islam menggariskan perundangan berhubung kait dengan hal ehwal peribadi dan kenegaraan.
Berlandaskan kepada perintah Allah SWT kerana Dia merupakan Pencipta alam. Amalan menyeru kepada kebaikan dan kebajikan tidak memerlukan perundangan yang ketat kerana seruan begitu mudah dilaksanakan jika seseorang umat itu benar-benar beriman dan takutkan Allah.
Kegiatan mencegah kemungkaran ada ketikanya memerlukan tindakan yang tegas dan keras kerana manusia mempunyai pelbagai bentuk keperibadian.
Ini memerlukan kepada pelbagai cara latihan dan didikan untuk menjadikan mereka mempertingkatkan keimanan.
Umat Islam yang mempunyai jiwa yang halus dan mudah menerima seruan Allah SWT tidak memerlukan kepada hukuman keras jika mereka melakukan kemungkaran. Nasihat dan bimbingan secara bersiri sudah cukup untuk melatih mereka menjadi beriman. Apabila kemaksiatan berkaitan dengan perundangan peribadi berleluasa dalam masyarakat Islam, maka perundangan yang ketat amat diperlukan.
Ia bertujuan memberi peringatan kepada umat Islam bahwa dosa-dosa peribadi itu merosakkan diri sendiri dan struktur kehidupan masyarakat Islam.
Setiap perundangan peribadi yang digariskan dan ingin dilaksanakan perlu diumumkan kepada masyarakat Islam dan diberi penjelasan secara terperinci. Ini supaya tidak timbul sebarang kesulitan apabila perundangan tersebut dilaksanakan.
Dalam era globalisasi yang mana amat sukar untuk membendung umat Islam daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur berbentuk dosa peribadi, maka setiap individu Islam perlu bekerjasama mendidik ke arah masyarakat beriman. Mencegah kemungkaran bukan hanya terletak di tangan pihak berkuasa dan berwibawa sahaja.
Malah ia juga merupakan tanggungjawab setiap individu Islam. Apabila umat Islam bekerjasama dalam membina dan memupuk keimanan masyarakat, maka setiap perundangan yang keras berkaitan peribadi kurang diguna pakai kerana masyarakat Islam memahami erti dosa dan neraka.
Selama mana umat Islam tidak memahami dan menyedari erti dosa dan neraka serta destinasi terakhir kehidupan mereka, maka selama itulah kemungkaran dan dosa-dosa peribadi menjadi lumrah kehidupan masyarakat Islam. Betapa keras sekali pun hukuman dijatuhkan kepada mereka, namun amalan-amalan dosa tersebut tetap dijadikan tradisi hidup. Terutamanya apabila mereka berada di luar wilayah pentadbiran Islam.
Bagi membina masyarakat Islam yang beriman dan inginkan kebahagiaan di alam akhirat, maka setiap individu Islam perlu memberi sokongan kepada semua kegiatan membasmi kemungkaran. Umat Islam tidak terjamin keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat jika mereka tidak terikat kepada sistem kehidupan yang berteraskan wahyu dan perundangan Allah.
Kasih sayang bukan hanya terikat kepada belaian dan pelukan tetapi ada ketikanya ia memerlukan kepada tindakan yang keras. Ini demi membentuk keperibadian yang sukar dibentuk dengan nada manja dan manis. Ia merupakan lumrah hidup manusia dan amat difahami oleh Allah SWT.
Oleh itu umat Islam perlu mempergiatkan kegiatan mencegah kemungkaran secara hikmah supaya setiap umat Islam menyedari erti dosa peribadi dan bertaubat secara ikhlas.
Pendakwahan secara berkesan amat diperlukan kerana dalam era globalisasi, umat Islam mudah menghadapi kekosongan jiwa. Ia akibat persekitaran yang dipenuhi oleh godaan hawa nafsu. Sukatan pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah juga perlu dikaji semula.
Ini bertujuan memastikan intisari pengajian Islam bertepatan dengan konsep pendidikan Islam. Yang amat prihatin terhadap pendidikan kerohanian dan merupakan asas kekuatan umat Islam menghadapi cabaran duniawi.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM
Sumber :

No comments: