Monday, May 5, 2008

Agama Islam dan Kedudukan Dalam Perlembagaan

Agama Islam dan Kedudukan dalam Perlembagaan

Sejak kebelakangan ini banyak pihak yang memperkatakan berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, malah ada juga yang cuba mempertikaikannya. Sedangkan kita sekarang ini berada dalam kemeriahan untuk menyambut kemerdekaan ke 49 tahun pada 31 Ogos 2006 ini. Seharusnya perkara yang telahpun menjadi kontrak sosial bersama selama ini tidak lagi perlu dipertikaikan. Justeru itu, penulisan ini dibuat bagi berkongsi maklumat berkaitan Islam dan kedudukannya dalam perlembagaan negara kita Malaysia.

Sejarah Kedatangan Islam di Tanah Melayu

Terdapat perkaitan antara Islam dan sejarah di negara kita. Islam mula bertapak di Asia Tenggara pada abad ke 17. Agama ini dibawa masuk dan dikembangkan di rantau ini menerusi pedagang-pedagang Arab yang sering berdagang di wilayah Asia Tenggara. Seterusnya agama Islam ini telah dibawa ke Melaka, menjadikan Melaka berperanan sebagai pusat penyebaran Islam. Malah pentadbiran di dalam sistem kerajaan Melayu Melaka itu sendiri telah dipengaruhi oleh Islam. Sebagai contoh semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488) memerintah kerajaan Melaka berasaskan cara pemerintahan Khalifah Islam iaitu Saidina Umar al-Khattab. Raja Melaka menjadi ketua agama Islam dan menggunakan gelaran Islam iaitu Sultan. Malah Undang-undang Melaka iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut dibentuk berdasarkan kepada hukum-hukum Islam.

Penjajahan telah berlaku di Tanah Melayu melibatkan beberapa kuasa. Bagaimanapun kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu contohnya tidak mengubah agama anutan penduduk tempatan. Kuasa pentadbiran sahaja yang telah di ambil alih oleh pihak British. Tetapi kuasa berkaitan agama dan adat istiadat masih diberikan kepada Raja-raja di negeri-negeri berkenaan. Misalnya negeri-negeri yang dikategorikan sebagai Negeri-negeri Melayu bersekutu seperti Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan diletakkan di bawah satu pentadbiran kerajaan pusat. Semua hal ehwal pentadbiran di peringkat kerajaan negeri dilaksanakan mengikut nasihat Residen-General, kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan adat istiadat Orang Melayu dan Agama Islam.

Sejarah Terbentuknya Perlembagaan Bagi Malaysia

Seterusnya negara kita telahpun melalui zaman penjajahan bermula daripada kuasa Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali semula kepada Inggeris. Setelah Inggeris mulai berkuasa semula di Tanah Melayu, pihak Inggeris mencadangan penubuhan Malayan Union. Namun ia mendapat tentangan. Setelah itu pada 1956, Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu. Ahli suruhanjaya ini terdiri daripada Lord Reid (British), Sir Ivor Jennings (British), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Sebanyak 131 memorandum bertulis yang diambil kira sewaktu suruhanjaya merangka perlembagaan itu. Dalam proses ini berlakulah tolak ansur antara kaum dari segi perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan mereka. Secara tidak langsung berlaku satu perjanjian murni di antara kaum-kaum di negara ini demi untuk kepentingan bersama.

Suruhanjaya ini bertanggungjawab merangka kerangka perlembagaan sekarang. Bagaimanapun dari sudut penyertaan rakyat tempatan ini juga penting kerana ia menunjukkan betapa perlembagaan yang ada sekarang bukanlah sesuatu yang diwariskan oleh suruhanjaya berkenaan. Suruhanjaya berkenaan dipandu oleh terma-terma rujukan yang telah ditetapkan oleh persidangan di London yang meminta suruhanjaya menyiapkan perakuan dan draf perlembagaan yang menyerlahkan ;

a) pembentukan sebuah persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat
b) pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak Raja-raja Melayu
c) pewujudan jawatan ketua negara bergelar Yang di Pertuan Agong
d) pemeliharaan hak-hak istimewa orang-orang Melayu serta hak-hak yang sah milik kaum-kaum lain serta ;
e) pembentukan sebuah sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh Malaya.

Setelah laporan disiapkan pada awal tahun 1957 ia telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan juga raja-raja. Ini diikuti oleh siri-siri mesyuarat di London dan Kuala Lumpur bagi membincangkan isi laporan tersebut. Ini semua menghasilkan Kertas Putih yang merupakan kumpulan syor tambahan yang sebahagian besarnya merupakan hasil semakan terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid.

Kedudukan dan kuasa Majlis Raja-raja termasuk dalam pindaan perlembagaan, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan agama Islam adalah antara perkara-perkara penting yang dikemukakan oleh Kertas Putih. Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang adalah draf yang dikemukakan oleh Kertas Putih.

Draf tersebut mula beroperasi sebagai sebuah dokumen undang-undang pada 31 Ogos 1957 melalui sebuah mekanisme yang terdiri daripada :

a) Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Akta Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang diluluskan oleh Parlimen Britain di London
b) Ordinan Perlembagaan Persekutauan 1957 yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan di Kuala Lumpur dan
c) Pelbagai enakmen yang diluluskan oleh majlis-majlis perundangan negeri yang bertujuan memberi kuatkuasa undang-undang kepada draf perlembagaan yang dikemukakan oleh Kertas Putih tadi.





Kedudukan Islam dalam Perlembagaan

Di Malaysia, perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa. Ia merupakan satu-satunya institusi atau sumber perundangan yang tetap tertinggi. Perkara berkaitan agama di dalam perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut :

Perkara 3 :
(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan ; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diistiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercatat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
(3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam dalam negeri itu.
(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.
(5) Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di- Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.
Bahagian 2
Kebebasan Asasi

Perkara 11
Kebebasan Ugama
(1) Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.
(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.
(3) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak –
(a) menguruskan hal-ehwal ugamanya sendiri.
(b) Menubuh dan menyenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud ugama atau khairat; dan
(c) Memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
(4) Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.
(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Perkara 12
Hak-hak berkenaan dengan pelajaran.

(2) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak menubuhkan dan menyenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam ugama kumpulan itu sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab ugama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam ugama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.

(3) Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa ugama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(4) Bagi maksul Fasal (3), ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.



Perkara di atas menjelaskan kepada kita berkaitan agama dan kedudukan agama itu di dalam perlembagaan negara. Kepercayaan keagamaan adalah satu perkara yang paling asas dalam kehidupan. Kepentingan agama ialah dapat memupuk nilai-nilai murni bagi melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan bermoral. Bagaimanapun pemupukan nilai keagamaan dikalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia adalah satu yang amat mencabar. Peruntukan Perlembagaan yang memberikan perhatian yang seimbang kepada semua agama serta sokongan saksama yang diberikan oleh pihak berkuasa dapat menjamin keyakinan rakyat untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing dalam keadaan selamat. Hal ini sekaligus mendorong peningkatan tolerasi dalam masyarakat Malaysia dan sekaligus berjaya memupuk perpaduan yang lebih erat.

Islam adalah agama persekutuan. Peruntukan berkenaan seperti yang ternyata dalam Perlembagaan adalah jelas bahawa hak kebebasan agama ini dinyatakan untuk menenangkan perasaan orang-orang bukan Islam; yakni kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan mengancam hak mereka untuk menganut dan mengamalkan kepercayaan beragama. Selain itu meskipun di atas tadi disebutkan wujudnya perlindungan dari paksaan untuk membayar cukai yang sebahagiannya akan digunakan untuk agama yang lain dari agama anutan seseorang, perlembagaan bagaimanapun menyebut bahawa pihak berkuasa boleh menggunakan wang awam untuk tujuan-tujuan agama Islam. Dengan kata lain Islam diberikan kedudukan yang lebih istimewa; yang tentunya berdasarkan kepada kenyataan sejarah negara ini.

Perkara 11, yang merupakan peruntukan utama mengenai hak kebebasan beragama, semacam membayangkan bahawa ruang litup hak berkenaan meliputi aspek-aspek menganut, mengamal dan mengembangkan agama-agama berkenaan. Bagimanapun hak mengembangkan agama tertakluk kepada peruntukan bahawa pengembangan agama-agama lain tertakluk kepada sekatan undang-undang. Sekatan ini termasuklah larangan mengembangkan dokrin atau agama lain selain Islam kepada orang-orang Islam. Undang-undang yang menyekat penyebaran agama lain dikalangan orang Islam masih belum ada di negeri Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. Keperluan kepada undang-undang ini ialah untuk melindungi orang Islam daripada dipengaruhi kepercayaan lain. eperti yang disebutkan, peruntukan ini menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada Agama Islam. Keistimewaan ini sebenarnya berkait rapat dengan sejarah dan latar belakang negara. Walaupun ada kemungkinan tuduhan bahawa ianya tidak mengikuti prinsip kesamarataan, tetapi kesedaran bahawa orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu telah diberikan hak-hak yang kebanyakkannya berlandaskan kepada sejarah. Khusunya melibatkan tolak ansur semasa rundingan kemerdekaan pada 1956-1957.

Dalam agama Islam hak kebebasan agama bermaksud bahawa Islam tidak memaksa orang bukan Islam menerima Islam. Namun di negara kita kebebasan beragama ini boleh disekat melalui undang-undang. Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan ini tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama yang lain daripada Islam di kalangan umat Islam.Selain itu perlembagaan juga menyebut bahawa kebebasan agama tidak boleh digunakan untuk menyalahi undang-undang awam mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Perlembagaan menyatakan bahawa kebebasan beragama adalah salah satu hak yang dijamin di bawah bab mengenai kebebasan asasi. Hak kebebasan agama ini juga kelihatan tidak boleh digantung ; hatta di dalam hal-hal yang di letakkan di bawah kuasa subversif. Contoh terbaik dalam konteks ini ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 ; sebuah statut yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan ini menarik kerana hak-hak lain di bawah bab mengenai kebebasan asasi di dalam perlembagaan itu boleh digantung atau dinafikan oleh undang-undang yang diluluskan di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.









































Bibliografi

Abdul Aziz Bari , 2006. Perlembagaan Malaysia : Asas-asas dan Masalah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Asnarul Khadi Abu Samah, Jayum A. Jawan, 2001. Kenegaraan Malaysia, Serdang : Universiti Putra Malaysia

Farid Sufian Ahuib, 2005. Murtad : Kedudukannya di sisi Islam dan Perlembagaan Malaysia, Petaling Jaya : Intel Multimedia and Publication

Hassan Saeed, Abdullah Saeed, 2004. Freedom of Religion, Apostasy and Islam, United State : Ashgate Publishing Limited

Kevin Boyle, Juliet Sheen, 1997. Freedom of Religion and Belief : A World Report, New York : Routledge

Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, 2001. Pengajian Malaysia, Shah Alam : Fajar Bakti

Nazaruddin Hj. Mohd Jali, Ma’rof Redzuan, Asnarulkhadi Abu Samah, Ismail Ali, 2001. Pengajian Malaysia : Kenegaraan dan Kewarganegaraan, Petaling Jaya : Pearson Education Malaysia

Paul M. Fayor, 2005. Freedom of Religion : UN and European Human Rights Law and Practice : United Kingdom : Cambridge University Press

Riduan Mohamad Nor, Mohd Asri Mat Daud, 2006. Murtad : Implikasi Hukum dan Fenomena, Batu Caves : MHI Publication

Shanti Nair, 2006. Islam In Malaysia Foreign Policy, New York : Routledge

Vidhu Verma, 2002. Malaysia : State and Civil Society in Transition, United State Of Amerika : Lynne Rienner Publishers

No comments: