Tuesday, June 12, 2012
Sifat putus asa tak ada jika percaya qada, qadar
Oleh Norul Aida Mohd Nor
bhagama@bhariian.com.my
2012/06/13
MUDAH menyerah kalah adalah sifat mudah berputus asa yang wujud dalam diri seseorang apabila ditimpa pelbagai ujian. Sifat sebegini boleh melemahkan iman seseorang hamba dan oleh itu kita digalakkan mencontohi sifat Rasulullah SAW.
Ujian diturunkan Allah kepada hamba-Nya berbeza kerana ada diuji dengan kegagalan, penindasan, kekayaan, kemiskinan, kebahagiaan, bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan serta dosa. Sebagai seorang Muslim kita sepatutnya menjadikan ujian batu loncatan yang mengubah nasib menjadi yang baik kepada lebih baik daripada sebelumnya. Seseorang itu perlu berusaha untuk mengubah nasib ke arah lebih baik dengan menjadikan kegagalan sebagai pendorong atau penguat semangat untuk bangkit semula membina kejayaan di masa depan. Rasulullah SAW dan sahabat sentiasa bersemangat serta bersungguh-sungguh berdepan dengan ujian. Baginda tidak pernah berputus asa menyebarkan agama Islam walaupun mendapat tentangan daripada orang kafir.
Baginda juga turut diuji dilahirkan sebagai yatim piatu, kemiskinan sehingga terpaksa menjadi pengembala kambing, kematian datuk, pak cik, isteri, anak lelaki dan banyak lagi peristiwa menduga keteguhan imannya. Walau apa juga rintangannya, Baginda tetap bersabar dan berdoa kepada Allah.
Orang yang mudah menyerah kalah dan berputus asa adalah seorang yang tidak sabar, tidak mensyukuri rahmat, nikmat serta tidak reda dengan takdir Allah. Justeru, hendaklah kita sentiasa tenang dan berlapang dada menempuh ujian.
Sebaliknya, seseorang itu perlu berusaha untuk mengubah nasib ke arah lebih baik dengan menjadikan kegagalan sebagai pendorong atau penguat semangat untuk bangkit semula membina kejayaan di masa depan.
Pelaku dosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana keampunan Allah SWT kepada hamba-Nya sangat luas.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az-Zumar, ayat 53)
Allah sentiasa membuka pintu taubat dan mengampuni hamba-Nya yang melampaui batas terhadap diri mereka. Walaupun melakukan maksiat atau melanggar perintah-Nya, mereka tetap diberi peluang bertaubat serta kembali ke pangkal jalan.
Oleh itu, apabila tersedar daripada dosa yang dilakukan, kita haruslah bersegera memohon keampunan Allah kerana orang yang diselubungi dosa akan sentiasa merasa gelisah serta tidak bahagia hidupnya di dunia dan akhirat nanti.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada yang menimpa seorang mukmin daripada bala bencana ataupun kesukaran dan kerunsingan sehingga duri yang menyucuknya melainkan Allah akan menebus dengannya segala dosa-dosanya.”
Seseorang yang reda dengan qada’ dan qadar pastinya tidak mudah menyerah kalah. Jika ditimpa kesulitan, mereka akan menerimanya dengan tabah kerana sedar ada orang lain yang lebih sulit daripada dirinya.
Kita perlu sedar setiap ujian atau cabaran pasti ada jalan keluar. Justeru, buang sifat mudah putus asa dan berusaha membina keyakinan diri dengan menyemai sifat sabar melalui contoh ditunjukkan Rasulullah SAW.
Sifat mudah putus asa hanya menunjukkan kelemahan kita yang akan menjejaskan imej Islam apabila orang Islam dikaitkan sebagai yang lemah. Teruskan usaha dan sentiasa bertawakal kepada Allah.
Sifat mudah menyerah kalah tidak sepatutnya ada pada seorang Islam yang beriman kepada Allah dan meyakini kemampuan dimiliki untuk berdepan apa juga ujian mendatang. Di sebalik kesusahan akan ada kesenangan.
(sumber :http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sifatputusasatakadajikapercayaqada_qadar/Article)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment