Tuesday, June 12, 2012
Pasangan angan-angan tinggi tanpa usaha bukan mukmin sejati
2012/06/13
RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan." (Hadis riwayat Muslim)
Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup, manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya. Mukmin yang betul-betul beriman tidak akan mudah berputus asa kerana segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Syaitan akan sentiasa mencari ruang untuk menyesatkan manusia. Janganlah sekali-kali disebut perkataan 'kalau' jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh mencapai sesuatu dan meminta pertolongan Allah SWT supaya dengan ihsan-Nya, Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha dilakukan kerana sebijak atau sekuat mana manusia, tetap berhajat pertolongan serta pimpinan Allah SWT.
Kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah Maha Berkuasa. Allah menjelaskan, sesuatu yang boleh diusahakan manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
Jika usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan reda, tenang, tenteram kerana hal itu pasti mengandungi hikmah tersendiri yang hanya diketahui Allah.
Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak reda kepada takdir serta ketentuan Allah Yang Maha Esa.
( Sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pasanganangan-angantinggitanpausahabukanmukminsejati/Article)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment