Mengejar pangkat, pujian jadikan kerja tidak ikhlas
Oleh Amran Zakaria
2011/10/20
Allah janjikan ganjaran setimpal kepada setiap tugas dibuat penuh ketulusan tanpa harap balasan
ADA yang membuat perbandingan bahawa keikhlasan itu seumpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam pada malam yang amat kelam. Ia wujud tetapi amat sukar dilihat. Bermaksud betapa sukarnya mengesan keikhlasan yang ada pada diri seseorang walaupun sememangnya ia begerak dalam naluri manusia. Hanya Allah saja yang mengetahui apa yang tersirat yang dilakukan oleh seseorang itu walaupun secara bersembunyi.
Dari segi bahasa, istilah ikhlas merujuk kepada bersih hati atau tulus hati. Sebenarnya istilah ikhlas yang kita guna pakai hari ini diambil daripada bahasa Arab iaitu khalasa dan yukhlisu yang bererti bersih, murni dan jernih. Umumnya, ikhlas memberi makna menjadikan segala sesuatu bersih dan menghilangkan segala kotoran yang bertempelan. Secara komprehensif ia bermaksud melakukan segala amal perbuatan yang diredai Allah dengan memurnikan niat secara tulus hati dan bersih hati hanya kerana Allah semata-mata dengan tidak mengharapkan sedikit pun imbalan daripada pihak lain. Ibnu Masud RA sahabat yang ternama dan paling cerdas dalam hafalannya menyatakan bahawa perkataan dan perbuatan seorang hamba tidak akan bermanfaat kecuali dengan niat ikhlas dan tidaklah akan bermanfaat pula perkataan, perbuatan dan niat seorang hamba kecuali yang sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW. Keikhlasan memurnikan niat kerja yang dilakukan seseorang hanyalah kerana Allah dan bukannya kerana riak. Mereka tidak menyimpan keinginan untuk dipuji oleh orang lain, apa lagi untuk mengejar hierarki manusia sama ada dari segi pangkat atau kedudukan.
Abul Qosim Al Qusyairi, seorang ulama menyatakan bahawa ikhlas menjadikan niat hanya untuk Allah dalam melakukan amalan ketaatan. Jadi, amalan ketaatan itu dilakukan dalam rangka mendekatkan diri pada Allah dan bukanlah ingin mendapatkan pujian daripada makhluk atau yang dilakukan bukanlah di luar mendekatkan diri pada Allah.
Ulama bersepakat bahawa orang yang ikhlas itu sama sekali tidak mempunyai niat untuk menjadi seorang yang sumah, mengelakkan diri daripada dipuji, tidak sombong, tidak riak, selalu merendah dan suka beramal. Kalangan mereka juga banyak bersabar, sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran dan mudah bekerjasama dengan orang lain untuk tujuan kebaikan dan senang melakukan amal yang bermanfaat. Allah berfirman yang bermaksud: Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya. (Surah Az Zumar, ayat 2)
Allah memandang tinggi kepada mereka yang ikhlas dalam melaksanakan perkara baik, mahupun berjumpa dengan saudara atau kenalan. Meletakkan niat yang betul bersamanya adalah ganjaran yang dijanjikan Allah. Rasulullah SAW menceritakan satu kisah mengenai seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kota lain, maka Allah mengutus malaikat di perjalanannya. Ketika malaikat itu bertemu dengannya lalu menyapa: Hendak ke mana engkau?, maka lelaki itu berkata: Aku ingin mengunjungi saudaraku yang tinggal di kota ini. Maka malaikat itu bertanya: Apakah engkau memiliki suatu kepentingan yang akan menguntungkanmu (apabila bertemu) dengannya? Lelaki itu pun menjawab: Tidak, hanya saja aku mengunjunginya kerana aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu lalu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untuk mengkhabarkan kepadamu bahawa sesungguhnya Allah menyintaimu seperti engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya. (Riwayat Muslim)
Kadangkala kita tidak sedari sudah melakukan pekerjaan yang dibuat secara ikhlas semata-mata kerana Allah. Walaupun sumbangan yang diberikan kecil saja tetapi besar ganjarannya di sisi Allah.
Kisah seekor anjing sedang kehausan yang telah diberi pertolongan oleh seorang wanita wajar dijadikan pedoman walaupun sumbangan wanita itu dianggap kecil kepada manusia tetapi besar pengertiannya di sisi Allah.
Sebagai makhluk kita mengharapkan keredaan bersama keampunan Allah. Perkara kebaikan yang dilakukan sekiranya tiada keikhlasan diyakini tidak akan mendapat ganjaran di sisi Allah sama ada kita menzahir atau menyembunyikannya.
Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui. ( Surah Ali Imran, ayat 29)
Sebenarnya, keikhlasan bekerja boleh merangsang peningkatan produktiviti seseorang. Pekerja yang ikhlas akan melakukan kerjanya secara bersungguh-sungguh dan penuh komitmen. Lazimnya mereka yang ikhlas dalam bekerja akan memperoleh nikmat berupa ganjaran yang dijanjikan Allah di dunia dan di akhirat.
Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mengejarpangkat_pujianjadikankerjatidakikhlas/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment