Sunday, October 23, 2011

UNITAR kini Dikenali UMTECH


UNITAR Kampus PINTAR kini dikenali sebagai University of Management and Technology (UMTECH). Perancangan penamaan semula ini bermula pada awal tahun ini dan telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 4 Julai 2011. Nama baru ini memberikan lebih kejelasan dan keterangkuman institusi ini, di mana ia secara ringkasnya dikenali sebagai UMTECH (dengan sebutan uem-tech).

UMTECH ialah sebuah universiti komprehensif dwi mod yang menawarkan pengajian secara konvensional dan juga pengajian jarak jauh pada masa yang sama. Struktur program juga direka untuk pengajian sepenuh masa bagi pelajar lepasan sekolah menengah; dan juga separuh masa bagi golongan bekerja. UMTECH mendukung hasrat menangani keperluan modal insan dalam abad ke-21 melalui multi-disiplin yang membawa visi UMTECH dalam mewujudkan persekitaran yang akan melahirkan pakar yang secukupnya bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Berteraskan bidang pengurusan dan teknologi, UMTECH bakal menawarkan program-program peringkat Asas, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran dalam pelbagai jurusan seperti pentadbiran perniagaan, perakaunan, pengurusan, pendidikan, pendidikan awal kanak kanak, bimbingan dan kaunseling, teknologi maklumat, kejuruteraan perisian, pelancongan dan hospitaliti. Semua program yang ditawarkan telah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Program juga digubal berdasarkan kehendak industri terkini dengan kerjasama pakar dalam industri utama yang akan diselaraskan melalui Persidangan Meja Bulat Tahunan dan perlantikan Penasihat Fakulti. UMTECH juga bakal mempunyai jaringan kolaborasi akademik yang kukuh dengan universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.

UMTECH mengunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk menampung keperluan pelajar-pelajar Malaysia serta pelajar-pelajar antarabangsa dari negara-negara ASEAN, Asia Utara, India, Timur Tengah dan Asia Tengah yang semakin ramai memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan mereka. Sesi pertama ambilan pelajar adalah pada Januari 2012 dengan sasaran pelajar seramai 1,000 orang. UMTECH beroperasi dari kampus induknya di Leisure Commerce Square, Petaling Jaya. UMTECH juga mempunyai Pusat Wilayah di Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Star, Kota Bharu, dan Johor Bahru.

Ahli Lembaga Pengarah Unitar Capital Sdn. Bhd. telah melantik Profesor Datuk Dr. Mohamed Mahyuddin Mohd. Dahan sebagai Naib Canselor yang pertama. Beliau mempunyai lebih 38 tahun pengalaman luas dalam bidang industri pendidikan. Sebelum ini beliau merupakan Timbalan Presiden, (Akademik & Penyelidikan) di Universiti Tun Abdul Razak selama empat (4) tahun dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu selama lapan (8) tahun. Pada 1987, beliau telah dilantik sebagai Professor of Animal Sciences oleh Universiti Pertanian Malaysia dan telah dianugerahkan Profesor Emeritus dari Universiti Malaysia Terengganu pada tahun 2006. Beliau juga adalah Ahli Majlis Akademi Sains Malaysia.

No comments: