Adab menegur perlu ikut syariat
Adab dan tatacara menegur perlu mengikut syariat yang diajar oleh
Islam melalui contoh akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW serta sahabat.
Antara adab Islam ketika menegur adalah menggunakan kata-kata yang baik,
sesuai serta difahami oleh orang yang ditegur.
Nada dan
intonasi digunakan ketika berbahasa juga akan menjadi penilaian sama ada
teguran itu dianggap lunak, lemah lembut, bersopan atau sebaliknya.
Perkara kedua yang perlu ditekankan ketika menegur ialah jangan
sesekali merendahkan ego terhadap orang yang ditegur. Ini penting kerana
setiap orang mempunyai ego masing-masing. Justeru, sikap bijaksana dan
berhati-hati perlu dijadikan teras ketika berhadapan dengan mereka.
Kemungkinan orang yang hendak ditegur itu sedang ditimpa musibah atau
masalah emosi yang boleh menyebabkan mereka mengeluarkan kata-kata
kurang ajar selepas ditegur. Banyak kes yang berlaku orang yang ditegur
bertindak balas secara kekerasan hingga berlaku permusuhan.
Perkara ketiga perlu diambil berat ialah mencari waktu atau masa yang
tepat dan bersesuaian. Nabi Muhammad SAW melarang kita menegur seseorang
di hadapan khalayak ramai kerana ia boleh menimbulkan perasaan aib.
Justeru, tegurlah ketika seseorang itu berada dalam keadaan
bersendirian atau di tempat yang tertutup supaya teguran kita diterima
dengan senang hati. Perhatikan juga raut wajah serta perwatakan supaya
maruah dan harga diri mereka terpelihara daripada umpatan dan dipandang
serong oleh orang lain.
Aspek seterusnya adalah memahami dan
menyelami kedudukan seseorang yang ditegur. Setiap individu mempunyai
pangkat, kerjaya serta darjat dalam masyarakat sama ada tinggi, rendah
atau sederhana.
Orang yang berpendidikan atau memiliki kerjaya
hebat perlu ditegur dengan hujah ilmiah melalui perbahasan bijaksana
serta berilmu. Selain itu, fakta dan nas yang betul perlu dijadikan
sandaran demi menegakkan kebenaran yang ingin dipertahankan.
Hal
ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Barang siapa
yang melihat kemungkaran dalam kalangan kamu hendaklah dicegah dengan
tangan (kuasa). Sekiranya tidak mampu hendaklah dicegah dengan lidah
(nasihat). Jika tidak mampu juga cegahlah dengan hati (niat). Maka itu
adalah serendah-rendah iman.”
Dakwah secara lemah lembut
Setiap
rasul yang diutuskan Allah SWT kepada umat mereka akan menggunakan
kaedah dakwah menyampaikan kebenaran secara lemah lembut, tertib,
bersopan santun serta menjauhi daripada ungkapan yang emosional, celupar
atau penggunaan kata-kata kesat.
Nabi Musa dan Nabi Harun
sewaktu berhadapan dengan Firaun menunjukkan kebaikan melalui kata-kata
yang lunak dan berhemah meskipun berhadapan dengan kebiadapan serta
kezaliman Firaun.
Rasulullah SAW sentiasa menggunakan bahasa
yang baik dan bijaksana sewaktu berdialog serta berhujah dengan golongan
Musyrikin atau Yahudi ketika menyampaikan kebenaran agama Islam kepada
mereka.
Masyarakat Melayu sejak zaman nenek moyang lagi
menggunakan kaedah menegur secara halus dan sinis termasuk menggunakan
bidalan, perumpamaan serta kata-kata pepatah supaya orang yang ditegur
tidak mudah berasa hati atau cepat melenting.
Wajarlah dalam hal
ini, pendidikan menegur dengan bahasa yang betul dan berlapis dijadikan
amalan dalam masyarakat demi memastikan silaturahim, kerukunan terus
utuh yang membentuk tembok kukuh membina generasi teguh, berprinsip
serta cinta-mencintai sesama sendiri.
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Adabmenegureratsilaturahim/Article/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment