Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Eutanasia atau Mercy Killing. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan eutanasia(samada Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ianya juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.
Keputusan ini adalah selaras dengan Firman Allah s.w.t. dalam Surah an-Nisa’, ayat 92 yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja...” dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap redha Allah)”.
Muzakarah juga menegaskan bahawa tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan. Membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang dilarang dan berdosa.
Walaubagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung dan/atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, Muzakarah memutuskan bahawa tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan tersebut adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan. Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment) diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing yang diharamkan.
Walaubagaimanapun, jika rawatan/alat bantuan sokongan tersebut digunakan untuk tujuan lain seperti alat bantuan mengeluarkan bendalir untuk memudahkan pernafasan, maka tindakan mencabut/memberhentikannya adalah tidak dibenarkan.
Dalam kes-kes di mana pakar perubatan berhadapan dengan situasi di mana pesakit perlu berdepan dengan dua pilihan, sama ada meneruskan rawatan walaupun berkemungkinan memberi kesan sampingan yang boleh menyebabkan kematian atau terus berada dalam keadaan kesakitan yang berterusan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus bagi pakar perubatan memberikan rawatan/ubat-ubatan kepada pesakit (seperti ubat penahan sakit) walaupun berkemungkinan memberi kesan kepada nyawa pesakit.
Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh: الضرورات تبيح المحظورات iaitu ‘dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan’, amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan yang dihadapi pesakit dapat dikawal dan pelaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian.
Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian tersebut disahkan oleh pakar, maka akan thabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris-waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terlibat dalam urusan pendermaan organ.
Sumber :http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-eutanasia-atau-mercy-killing
No comments:
Post a Comment