Tuesday, October 9, 2012

Hukum Ibadah Korban

Sepuluh awal Zulhijjah dinilai sebagai sepuluh hari yang mulia kerana ia adalah hari-hari penting bagi kaum muslimin terutama mereka yang menunaikan ibadah haji. Firman Allah SWT: “Demi Waktu fajar dan demi sepuluh malam.” (Surah al-Fajr, ayat 1-2)  Al-Hafiz Ibnu Kathir berpendapat sepuluh malam bermaksud sepuluh hari awal pada bulan Zulhijjah seperti tafsiran yang telah dinyatakan Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair dan Mujahid. Ibadah lain yang besar nilainya pada Zulhijjah adalah ibadah korban. Antara ayat al-Quran yang menyeru manusia melakukan ibadah korban ialah firman Allah SWT: “Dan tunaikanlah solat (kerana Tuhanmu) dan sembelihlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 2)

Imam al-Syaukani dalam kitab tafsirnya Fath al-Qadir menjelaskan bahawa solat yang dimaksudkan adalah solat sunat Aidiladha dan suruhan sembelihan pula bermaksud ibadah korban seperti dinyatakan oleh Qatadah, 'Ataa' dan Ikrimah.  Berdasarkan dalil ini, ulama berpendapat ibadah korban adalah salah satu syariat yang dituntut dalam Islam. Berkenaan hukum melakukan ibadah korban, jumhur ulama menyatakan hukumnya adalah sunnat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut.
Hukum laksana korban
Ini juga pandangan sarjana fiqh dalam mazhab al-Syafie. Imam al-Nawawi menyatakan hukum menunaikan korban bagi orang bermukim dan mempunyai kemampuan adalah sunat yang dituntut dalam mazhab. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Hakim, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai kemampuan dan dia tidak menyembelih korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (ketika solat sunat Aidiladha).” (Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim, al-Imam al-Zahabi dan al-Albani)



Ini menunjukkan kepentingan ibadah korban. Sebahagian sarjana fiqh bermazhab Hanafi dan Maliki berpendapat ibadah ini wajib bagi mereka yang berkemampuan kerana Nabi SAW melarang sesiapa yang berkemampuan, tetapi tidak melakukan korban untuk bersolat sunat Aidiladha. Namun, yang lebih tepat hukumnya adalah sunat muakkad berdasarkan perbuatan kebanyakan sahabat antaranya Abu Bakar, Umar, Ibnu Abbas dan lain-lain yang kadang kala meninggalkan ibadah korban ini.  Al-Imam al-Thohawi dalam Mukhtasar Ulama’ meriwayatkan bahawa Abu Sarihah menyatakan sesungguhnya Abu Bakar dan Umar pernah meninggalkan ibadah korban supaya ia tidak dianggap wajib oleh umat Islam.
Amalan disukai Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) daripada menyembelih sembelihan (korban), sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat nanti bersama tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya darah yang jatuh daripada sembelihan korban itu sampai kepada Allah sebelum daripada jatuh ke atas tanah maka sempurnakanlah sembelihannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kelebihan ibadah korban

Antara kelebihan ibadah korban adalah untuk menunjukkan kecintaan kita kepada Allah SWT. Ibadah korban juga salah satu syiar Islam. Allah SWT berfirman: “Dan mereka mengingati Allah SWT pada hari-hari yang tertentu (dengan menyembelih korban) dengan apa yang Allah kurniakan kepada mereka yang terdiri daripada haiwan-haiwan ternakan.” (Surah al-Haj, ayat 28)

Salah seorang ulama tafsir iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Sa’diy menjelaskan dalam karya tafsirnya Taisir al-Karim al-Rahman, sembelihan dilakukan seseorang muslim dengan tujuan mengingati Allah SWT atas nikmat diberikan antaranya yang terdiri daripada haiwan ternakan.Selain itu, umat Islam dituntut melakukan ibadah untuk mengingati dan meneruskan ibadah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang menunjukkan rasa taat dan patuh kepada setiap perintah Allah SWT sehingga sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Namun Allah SWT menukarkan Nabi Ismail dengan seekor kibas yang gemuk sebagai ganti kepada nilai ketaatan ditunjukkan mereka berdua. Lantaran itu peristiwa ini dijadikan ibadah dalam syariat Islam dengan disunatkan setiap muslim yang mampu supaya menyembelih haiwan ternakan sebagai melahirkan rasa cinta kepada Allah SWT melebihi dunia dan isinya serta untuk memperingati peristiwa bersejarah ini.

(Sumber :http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ibadahkorbansyariatdituntut/Article/)

No comments: