Thursday, June 25, 2009

BM Bukan Setakat PPSMI


Oleh MARHAINI KAMARUDDINpengarang@utusan.com.my
APAKAH dialog filem Melayu yang masih anda ingati sehingga sekarang? Sama ada terkesan dengan keindahan bahasanya yang puitis dan romantis, geli hati dengan kelucuannya atau sakit hati dengan kata-kata sadis yang dilontarkan oleh pelakon?
Puas juga penulis memikirkannya tetapi tidak ada yang terlekat dalam fikiran. Jika ada pun mungkin dialog lucu dalam Budak Kelantan tentang alamat "Kota Bharu, California" watak jahatnya yang digelar "gengster Amerika".
Bagaimanapun penulis percaya jika ditanya tentang filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tidak ada masalah untuk kita mengingatinya! Paling mengesankan tentulah dialog Mak Dara dalam Ibu Mertuaku yang antaranya berbunyi: "Siapa Kassim Selamat? Loyar? Majistret? Apa... ahli muzik?"
Dialog "Walaupun rupamu tidak ku kenal tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku" yang dituturkan oleh Datuk Aziz Satar dalam Seniman Bujang Lapuk pula sentiasa membuat kita tidak kering gusi setiap kali mendengarnya.
Tetapi kenapakah filem-filem P. Ramlee masih terus diingati sehingga kini?
Mungkin ada yang menjawab sebab ia selalu diulang tayang di televisyen. Persoalannya kenapa masih ada yang terus terpaku di kaca televisyen biarpun filem-filem itu telah ditonton berkali-kali?
Adakah peminat yang bertindak serupa terhadap filem-filem Melayu baru seperti Impak Maksima, Bohsia, Evolusi Drift, Cicakman atau KL Menjerit?
Tidak kena gayanya mungkin ada yang menghantar surat terbuka 'memarahi' stesen televisyen kerana asyik mengulang tayang filem yang sama. Jadi apakah jawapan kepada kesetiaan peminat terhadap filem-filem P. Ramlee? Ada yang menjawab kerana ia menghiburkan. Ya, tetapi bahagian mana yang menghiburkan itu?
Jawapannya bagi penulis terletak pada kekuatan pengucapan dialog atau bahasanya!
Perkara inilah yang kurang dititikberatkan di dalam filem-filem Melayu sekarang.
Keadaannya berbeza dengan filem-filem Bollywood dan Korea malah Indonesia yang berjaya merentas sempadan negaranya. Cukup dengan membaca sarikata, peminat di seluruh dunia berkongsi suka, sebak dan berlinang air mata menghayatinya.
Dalam hal ini, penulis tidak menyalahkan pembikin filem Melayu. Di sinilah terletaknya peranan badan penguat kuasa, agensi kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pertubuhan dan individu pejuang bahasa untuk turut sama menentukan hala tuju filem, drama dan lagu-lagu Melayu.
Di tangan mereka sepatutnya bahasa Melayu dapat diangkat ke kedudukan dan martabat yang tinggi di negara ini.
Kesempatan berada di Korea Selatan dan melihat program-program televisyen negara itu membuka mata betapa rakyatnya begitu bangga dan bersungguh-sungguh mempromosikan bahasa mereka.
Berbanding rakyat Malaysia yang bersusah payah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan warga asing yang berada di negara ini. Sebaliknya di negara itu, rakyat asing pula yang bersungguh-sungguh mempelajari bahasanya. Program stesen KBS Chit chat with beautiful ladies mengundang wanita asing dari seluruh pelosok dunia membicarakan pelbagai topik sepenuhnya dalam bahasa Korea.
Kini, filem, drama malah lagu penyanyi negara itu - dalam bahasa Korea - membanjiri pasaran dunia dari Asia hingga ke Amerika Latin dan Eropah. Ia telah membantu mempromosikan budaya dan bahasa serta apa sahaja tentang Korea.
Malangnya di Malaysia, perjuangan memartabat bahasa kebangsaan sering kali disempitkan kepada sektor pendidikan atau tepatnya peringkat sekolah.
Kerap kali sasaran kejayaan sesuatu usaha atau kempen dibebankan kepada guru dan pelajar. Akibatnya, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi polemik dan konflik ekoran campur tangan politik yang tidak sewajarnya.
Matlamat asas pelaksanaannya enam tahun lalu seperti dilupakan. Desakan dibuat supaya pelajar kembali menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sedangkan persekitaran yang menunggu mereka di peringkat kolej, universiti dan tempat kerja tidak pula sedemikian.
Tidak boleh siapa pun menafikan, bahasa pertuturan di syarikat-syarikat besar dalam negara malah di jabatan dan agensi kerajaan adalah bahasa Inggeris. Lebih malang lagi bagi pelajar apabila memasuki pasaran kerja, syarikat-syarikat dikuasai tokoh perniagaan berketurunan Cina turut mensyaratkan bahasa Mandarin untuk mereka.
Justeru benarkah gerakan memansuhkan PPSMI ikhlas mahu membantu pelajar khususnya di luar bandar seperti diuar-uarkan?
Tidakkah perjuangan mendaulatkan bahasa tidak sepatutnya menafikan masa depan anak-anak kita?
Tidak ada salahnya para pejuang bahasa mendesak pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ditingkatkan di sekolah-sekolah. Namun tidak adil pula untuk mereka menafi atau menolak usaha kerajaan melengkapkan para pelajar dengan bahasa Inggeris demi kesenangan dan kemudahan mereka pada hari muka.
Tumpuan sepatutnya diberikan oleh para pejuang bahasa untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di segenap lapisan dan peringkat di seluruh negara.
Golongan ini sepatutnya mendesak agar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan dalam semua acara rasmi kerajaan dan swasta! Desak juga semua program bertaraf antarabangsa yang dianjurkan dalam negara menggunakan setidak-tidaknya dua bahasa dengan satu daripadanya adalah bahasa Melayu!
Desak kerajaan mewajibkan setiap program televisyen yang dibawa dari luar negara menyediakan sarikata atau dialih bahasa. Desak juga supaya semua papan tanda ditulis dalam bahasa kebangsaan. Begitu juga surat dan dokumen rasmi termasuk perjanjian jual beli hartanah!
Desak kerajaan menetapkan syarat agar pelajar atau pekerja asing menduduki ujian asas bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya mengikuti kursus pendek bertutur dalam bahasa itu.
Dan pastikan semua pemimpin politik bercakap terutamanya di Parlimen dalam bahasa kebangsaan yang sempurna bukannya caca-marba. Penulis tidak tahu adakah semua desakan itu telah dibuat oleh para pejuang bahasa kita. Jika sudah, baguslah. Tetapi berapa peratuskah kejayaan pelaksanaannya?
Sejarah Tanah Melayu menunjukkan bahasa Melayu pernah menjadi lingua-franca. Para pedagang China, Arab dan India pada masa itu berusaha mempelajarinya untuk memudahkan urus niaga.
Jadi tidak mustahil ia dilakukan sekarang.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak sepatutnya disempitkan kepada pelaksanaan PPSMI di sekolah sahaja.
Jika dasar itu hendak dimansuhkan, sejauh manakah persediaan kita menyediakan rujukan untuk mata pelajaran Matematik dan Sains termasuk cabang-cabangnya seperti perubatan, kejuruteraan dan teknologi dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda?
Sekadar perbandingan, carian di Internet bagi Sains menghasilkan hanya 8.15 juta perkara berbanding perkataan sama dalam bahasa Inggeris (Science) sebanyak 718 juta.
Manakala carian Matematik menghasilkan 12.6 juta perkara berbanding 92.7 juta bagi Mathematics. Agak mengejutkan carian Sejarah Melayu juga hanya menemui 538,000 topik berbanding 6.07 juta dalam bahasa Inggeris.
Justeru sudah banyakkah buku rujukan dalam bahasa Inggeris yang telah diterjemah - seperti dilakukan oleh negara-negara yang mengagungkan bahasa ibunda mereka contohnya Jepun dan Korea?
Bukankah kelemahan penuntut kita di universiti untuk memahami subjek-subjek itu jugalah yang mendorong kerajaan mewujudkan dasar PPSMI enam tahun lalu?
Jika khutub khanah kita sudah lengkap, tidak ada masalah untuk para pelajar kita kembali mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
Namun jika tidak, sesuatu perlu dilakukan dari sekarang sebelum mereka melangkah kaki ke menara gading dan terpinga-pinga mencari rujukan untuk memahami terma-terma dalam bahasa antarabangsa itu.
Terjemahan yang dibuat pula perlulah jelas dan bukan semudah memelayukan perkataan asing seperti ratifikasi yang diterjemah daripada ratification. Ia tidak membantu mengayakan bahasa kebangsaan.
Jika semua tuntutan di atas belum dibuat dan dilaksanakan, hentikanlah desakan untuk menghapuskan dasar itu yang diperkenalkan demi memajukan anak bangsa!
Sumber :

No comments: