Monday, November 23, 2009

Artikel

Penulis buku teks dua subjek dicari
Oleh Nazmi Yaakubbhnews@bharian.com.my
Sains, Matematik guna bahasa Melayu 2011 KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mencari penulis buku teks mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dipercepatkan secara berperingkat daripada 2012 kepada 2011. Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah mengeluarkan iklan tawaran itu bagi buku teks yang akan digunakan pada 2011, manakala penilaian kepada penulis dibuat oleh Jawatankuasa Buku Teks dan Kurikulum berdasarkan piawaian yang ditetapkan. Beliau berkata, langkah mempercepatkan pemansuhan itu diputuskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila ada iltizam yang kuat dari Bahagian Kurikulum dan Buku Teks untuk mempersiapkan buku teks itu awalBeliau berkata demikian selepas melancarkan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu Kelima di DBP, di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz; Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Che Ibrahim Salleh dan Pengerusi seminar, Dr Mohd Sharifudin Yusop. Mohd Puad berkata, ramai yang tidak faham apabila PPSMI diperkenalkan, taraf mata pelajaran Sains dan Matematik juga diturunkan untuk disesuaikan dengan dasar terbabit. Katanya, apabila kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan PPSMI, kurikulum yang digunakan dalam dasar itu perlu dirombak kembali dan dinaikkan tarafnya semula.
"Kita kena buat benda baru dan cetak buku baru, sekali gus menyebabkan kita tidak boleh terburu-buru dan apabila tidak meneruskannya, esok juga kita kena laksanakan pengajaran serta pembelajarannya dalam bahasa Melayu," katanya. Sementara itu, beliau menggesa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam pengendalian mesyuaratnya, termasuk mesyuarat lembaga pengarah.

Thursday, November 12, 2009

Ingatan Buat Kita Semua

Ingatan bagi pelupa: Tiga jenis sifat tercela perlu dijauhi

SALAH satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (riak). Ujub dapat diertikan sebagai 'menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain'. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain. Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub).” - (Hadis Baihaqi) Jenis ujub termasuklah:
Bangga atau kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara merdu. Hal sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa juga yang dibanggakan itu adalah anugerah dan nikmat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan anugerah Allah itu pada tempatnya yang wajar lagi diredai-Nya.
Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai. Sikap sedemikian perlu dijauhi dengan kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, ulama dan intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah: “Dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit.” - (Surah al-Israa’: 85)
Ada pula ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya).” - (Surah al-Hujurat: 13).
Sifat ini hendaklah dijauhi dan dihilangkan dari diri seseorang individu muslimin kerana ia boleh menjejaskan amal ibadat kita kepada Allah. Semoga dengan menjauhinya kita akan mendapat keredaan Allah di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Sumber: 'Syiar Islam' Risalah Surau NSTP
Sumber :
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20091113093612/Article/index_html

Rencana

Kunta kinte: Gejala rasuah tak mengenal bangsa

Tradisi portfolio kementerian dipegang wakil tertentu perlu diubahMINGGU lalu kita cakap fasal Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cadang nak beli jet pejuang baru ganti MIG29. Kunta Kinte kata fikir-fikirlah dulu fasal negara dan rakyat jelata dalam keadaan susah sekarang. Kalau boleh perbaiki dan pakai balik, perbaiki dan pakailah dulu. Kalau tak boleh juga, kita tangguhlah sementara.
Tak lama lepas Kunta Kinte buat cadangan itu, Kunta Kinte baca berita Kerajaan Switzerland tangguh dulu rancangan nak beli jet pejuang baru. Switzerland ini negara maju. Kalau ikut congak Bank Dunia, ia duduk nombor enam dari segi pendapatan perkapita. Kita nombor 48. Kita nak ganti MIG29 yang baru berumur dalam 10 tahun. Switzerland nak ganti pesawat F5E yang kita dah lama simpan dalam stor. Maaf cakaplah, kadang-kadang Kunta Kinte pun hairan fasal apa cepat sangat nak tukar dan beli peralatan baru. Fasal kebajikan negara atau fasal ada orang boleh dapat komisen besar?
Kinta Kinte pun ada baca berita Keretapi Tanah Melayu (KTM) beli empat lokomotif diesel yang dipulihkan berusia 20 tahun dengan harga RM30 juta. Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional pertikai fasal apa harga tinggi sangat. Mereka kata Argentina dan Costa Rica beli kepala kereta api yang sama dengan harga lebih murah. Eloklah kalau Ahli Parlimen kita nampak benda-benda macam ini dan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat. Yang kita tak mahu Ahli Parlimen kita duduk diam-diam atau tumpang sekali. Kunta Kinte setuju SPRM siasat. Bukan apa, tetapi nampak seolah-olah banyak sangat projek bawah Kementerian Pengangkutan yang jadi haru-hara dan timbul syak wasangka.
Mula-mula kita dengar fasal skandal berbilion-bilion ringgit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Kemudian skandal terlebih bayar pembinaan landasan kembar yang didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara. Kunta Kinte nak tanya macam mana Kementerian Pengangkutan boleh lepas pandang? Atau macam kata pepatah, kalau tidak ada-ada masakan tempua bersarang rendah. Kita yang datang dari kampung tentu tahu burung tempua buat sarang yang cantik di tempat tinggi, macam pokok nyiur dan rumpun buluh. Yang Kunta Kinte takut, bukan terlebih bayar, tetapi memang sengaja buat macam itu fasal yang jadi subkontraktor adalah kawan rakan atau orang pilihan pembesar tertentu. Kunta Kinte rasa amalan rizabkan kementerian tertentu kepada ketua parti tertentu kena ditukar. Nampak terang kaedah itu sudah tak boleh pakai. Nombor satu ia hadkan hak Perdana Menteri (PM) dan nombor dua kaedah ini boleh disalahgunakan oleh penyandang. Kalau PM dah tarik balik portfolio Kementerian Kerjaraya daripada MIC, Kunta Kinte rasa dia wajib tarik balik Kementerian Pengangkutan daripada MCA. Bagi MCA kementerian lain. Lepas itu barulah senang nak siasat apa dah jadi dengan kementerian lama. Tukar jawatan dan kementerian ni bagus. Tangan PM tak terikat. Menteri pun selalu berjaga-jaga takut kena tukar. Bila kena tukar, orang baru mungkin siasat dan jumpa najis yang dia buat. Jadi masing-masing takut buat najis. Bila takut buat najis, bersihkan kerajaan dan pengundi pun mungkin sokong balik kerajaan. Tapi kalau duduk main cara lama fasal takut lukakan hati parti komponen atau takut orang Cina dan India merajuk, Kunta Kinte khuatir pada pilihan raya akan datang, bukan saja orang Cina dan India tak balik sokong, malahan lagi ramai orang Melayu yang merajuk. Orang Cina dan India mereka tak merajuk. Mereka main strategi. Mereka buat congak, buat kira-kira dan buat ilmu hisap. Mereka sokong yang kuat. Mereka kata kerajaan yang orang Melayu pimpin tak cekap, rasuah dan macam-macam lagi sampai ada orang Melayu dah jadi penakut dan apologis. Sikit-sikit minta ampun dan minta maaf. Tapi kita kena faham juga yang banyak bagi rasuah dan tumbuk rusuk pembesar Melayu, polis Melayu dan kakitangan awam Melayu tu siapa? Tangkap Melayu yang terima rasuah saja tak cukup. Cekup juga tauke-tauke yang bagi rasuah, bagi ang pau dan cincai sana dan cincai sini. Tak apalah nak rahsia dan lindung whistle blower. Tapi apa hal kalau peniup wisel itu juga yang bagi rasuah, yang bagi ang pau dan yang ajak si Melayu pelahap pergi makan-makan dan berseronok?
Sumber :

Thursday, November 5, 2009

Agama

Cegah kemungkaran secara berhemah
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PERASAAN kasih sayang yang wujud dalam diri insan merupakan fitrah ciptaan Allah SWT kepada setiap makhluk-Nya.
Kasih sayang merupakan penghubung kepada konsep persaudaraan dalam Islam. Kasih sayang yang diajar oleh Allah SWT mempunyai pengertian mendalam iaitu kasih sayang di dunia dan di akhirat.
Berdasarkan kepada elemen kehidupan di akhirat merupakan destinasi terbaik, maka Allah SWT mengutuskan 25 rasul dan beribu-ribu nabi. Nabi dan rasul inilah yang bertanggungjawab mendidik manusia mengenai peraturan dan perundangan yang perlu dipatuhi jika mereka ingin mencapai kebahagiaan hidup di akhirat.
Berdasarkan kepada kepercayaan tentang kewujudan alam akhirat dan pembalasan terhadap kegiatan manusia di dunia, maka umat Islam yang beriman kepada Allah SWT lebih menumpukan perhatian kepada kebajikan, ibadah, menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Apabila amalan ini menjadi satu tradisi dalam kehidupan umat Islam, maka setiap individu Islam akan prihatin terhadap saudara sesama Islam dalam mengejar kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Umat Islam yang beriman amat prihatin terhadap kebajikan masyarakat dan berusaha untuk mendidik umat supaya menjadi orang yang beriman dalam pelbagai cara, kegiatan dan tindakan.
Perkara berkaitan dengan kebajikan dan menyeru manusia ke arah kebaikan adalah tidak begitu sukar jika dibandingkan dengan kegiatan untuk mencegah kemungkaran.
Undang-undang Allah SWT yang diwahyukan kepada manusia adalah berhubung kait dengan perkara-perkara berkaitan dengan peribadi dan kemasyarakatan. Umat Islam diwajibkan mengambil berat terhadap individu Islam sama ada berkaitan perundangan peribadi atau kemasyarakatan.
Umat Islam juga diseru supaya prihatin terhadap keperibadian umat Islam kerana kekuatan umat adalah bergantung kepada keimanan setiap individu Islam.
Ketiga-tiga perkara ini merupakan asas utama dalam pembentukan masyarakat Islam yang kukuh, berwibawa dan bermaruah. Bagi memperkukuhkan kedudukan umat Islam sebagai satu umat yang berwibawa, beriman dan bermaruah, Islam menggariskan perundangan berhubung kait dengan hal ehwal peribadi dan kenegaraan.
Berlandaskan kepada perintah Allah SWT kerana Dia merupakan Pencipta alam. Amalan menyeru kepada kebaikan dan kebajikan tidak memerlukan perundangan yang ketat kerana seruan begitu mudah dilaksanakan jika seseorang umat itu benar-benar beriman dan takutkan Allah.
Kegiatan mencegah kemungkaran ada ketikanya memerlukan tindakan yang tegas dan keras kerana manusia mempunyai pelbagai bentuk keperibadian.
Ini memerlukan kepada pelbagai cara latihan dan didikan untuk menjadikan mereka mempertingkatkan keimanan.
Umat Islam yang mempunyai jiwa yang halus dan mudah menerima seruan Allah SWT tidak memerlukan kepada hukuman keras jika mereka melakukan kemungkaran. Nasihat dan bimbingan secara bersiri sudah cukup untuk melatih mereka menjadi beriman. Apabila kemaksiatan berkaitan dengan perundangan peribadi berleluasa dalam masyarakat Islam, maka perundangan yang ketat amat diperlukan.
Ia bertujuan memberi peringatan kepada umat Islam bahwa dosa-dosa peribadi itu merosakkan diri sendiri dan struktur kehidupan masyarakat Islam.
Setiap perundangan peribadi yang digariskan dan ingin dilaksanakan perlu diumumkan kepada masyarakat Islam dan diberi penjelasan secara terperinci. Ini supaya tidak timbul sebarang kesulitan apabila perundangan tersebut dilaksanakan.
Dalam era globalisasi yang mana amat sukar untuk membendung umat Islam daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur berbentuk dosa peribadi, maka setiap individu Islam perlu bekerjasama mendidik ke arah masyarakat beriman. Mencegah kemungkaran bukan hanya terletak di tangan pihak berkuasa dan berwibawa sahaja.
Malah ia juga merupakan tanggungjawab setiap individu Islam. Apabila umat Islam bekerjasama dalam membina dan memupuk keimanan masyarakat, maka setiap perundangan yang keras berkaitan peribadi kurang diguna pakai kerana masyarakat Islam memahami erti dosa dan neraka.
Selama mana umat Islam tidak memahami dan menyedari erti dosa dan neraka serta destinasi terakhir kehidupan mereka, maka selama itulah kemungkaran dan dosa-dosa peribadi menjadi lumrah kehidupan masyarakat Islam. Betapa keras sekali pun hukuman dijatuhkan kepada mereka, namun amalan-amalan dosa tersebut tetap dijadikan tradisi hidup. Terutamanya apabila mereka berada di luar wilayah pentadbiran Islam.
Bagi membina masyarakat Islam yang beriman dan inginkan kebahagiaan di alam akhirat, maka setiap individu Islam perlu memberi sokongan kepada semua kegiatan membasmi kemungkaran. Umat Islam tidak terjamin keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat jika mereka tidak terikat kepada sistem kehidupan yang berteraskan wahyu dan perundangan Allah.
Kasih sayang bukan hanya terikat kepada belaian dan pelukan tetapi ada ketikanya ia memerlukan kepada tindakan yang keras. Ini demi membentuk keperibadian yang sukar dibentuk dengan nada manja dan manis. Ia merupakan lumrah hidup manusia dan amat difahami oleh Allah SWT.
Oleh itu umat Islam perlu mempergiatkan kegiatan mencegah kemungkaran secara hikmah supaya setiap umat Islam menyedari erti dosa peribadi dan bertaubat secara ikhlas.
Pendakwahan secara berkesan amat diperlukan kerana dalam era globalisasi, umat Islam mudah menghadapi kekosongan jiwa. Ia akibat persekitaran yang dipenuhi oleh godaan hawa nafsu. Sukatan pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah juga perlu dikaji semula.
Ini bertujuan memastikan intisari pengajian Islam bertepatan dengan konsep pendidikan Islam. Yang amat prihatin terhadap pendidikan kerohanian dan merupakan asas kekuatan umat Islam menghadapi cabaran duniawi.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM
Sumber :

Monday, November 2, 2009

Rencana

Sidang maya, kongsi ilmu tanpa sempadan
Siti Suriani Othaman
LAPORAN akhbar The Times minggu lalu menyiarkan analisis bisnes menyentuh keadaan ekonomi Amerika Syarikat dan Britain yang dikatakan masih berada pada tahap kemelesetan yang teruk. Dengan pertumbuhan ekonomi hanya 3.5 peratus daripada Julai sehingga September 2009, catatan itu adalah antara paling buruk dalam sejarah kemelesetan Amerika dalam tempoh 70 tahun ini, namun ia masih dikatakan antara yang terbaik berbanding negara Barat lain seperti Britain. Kemelesetan kali ini nampaknya dirasai bukan saja olah masyarakat yang berfungsi sebagai pengguna aktif dalam sesebuah sistem ekonomi, malah turut membabitkan peruntukan pembiayaan calon doktor falsafah di sesetengah universiti di Britain. Sungguhpun benar peruntukan ini dipengaruhi oleh perbezaan jumlah calon pengajian dalam sesebuah fakulti, umumnya pihak fakulti menyentuh dan tidak menafikan pengaruh kemelesetan hari ini terhadap landskap pembiayaan. Kebelakangan ini, isu itu menjadi rungutan sesetengah pensyarah dan profesor universiti di Britain.
Umumnya, perkara ini disedari penganjur persidangan di serata dunia. Dalam kekurangan dan tekanan ini, mereka berusaha memikirkan langkah untuk terus menggabungkan sarjana seluruh dunia dalam sesuatu persidangan demi kelestarian perkongsian ilmu tanpa sempadan. Dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dan pastinya dengan mengeksploit teknologi internet, banyak bentuk reformasi yang tidak pernah terfikir sebelum ini, kini mula dilaksanakan dan diletakkan sesetengahnya dalam tempoh percubaan dari segi keberkesanan teknologinya serta kesan terhadap aliran perbincangan persidangan keseluruhannya. Misalnya satu persidangan yang bakal berlangsung di Nevada, Amerika Syarikat minggu ini menawarkan pembentangan bentuk virtual yang tidak memerlukan pembentang menghadiri persidangan itu. Cukup dengan menghantar kertas kerja dan pembentangan berbentuk ‘power point’ serta membayar sejumlah yuran yang jauh lebih rendah berbanding pembentang yang menghadiri persidangan, kita sudah dikira sebagai seorang pembentang. Mekanismenya mudah tetapi menarik. Pembentang perlu bersiap pada waktu sebenar persidangan dijalankan tidak kira di mana pembentang berada dan bersedia untuk menjawab sebarang soalan dikemukakan secara online menerusi Skype. Skype adalah satu program yang membolehkan penggunanya bersembang di alam maya secara percuma dan jika sebelum ini penggunaan Skype banyak dikaitkan dengan bentuk perbualan kurang formal, hari ini nampaknya Amerika menjadikan ia alternatif menarik untuk tujuan berkongsi ilmu, sekali gus mengurangkan beban kewangan pembentang yang tidak berkesempatan melakukan pembentangan secara fizikal.
Satu lagi persidangan pada tahun depan di Cambridge, Britain juga nampaknya mula menawarkan pilihan pembentangan secara virtual dalam laman web persidangan dan turut mencadangkan mekanismenya yang tersendiri. Persidangan ini mencadangkan agar semua pembentang yang terpilih menyediakan video pembentangan mereka dan menyediakan arahan lain serta kemudahan teknikal berkaitan untuk membantu pembentang menyalurkan video terbabit melalui YouTube yang seterusnya boleh diakses oleh semua pembentang dan delegasi persidangan itu. Pengalaman lain berkaitan pembentangan virtual menyimpulkan bahawa kebanyakan penganjur persidangan kewartawanan di negara selain Amerika dan Britain masih kurang menggunakan internet untuk tujuan pembentangan virtual. Sepanjang pemerhatian saya, belum ada penganjur persidangan di luar Britain dan Amerika, memberi pilihan jelas untuk membentang secara virtual dalam laman web mereka. Lalu apa yang saya lakukan ialah mencadangkan kepada pihak penganjur kebarangkalian mengaplikasikan kaedah ini setelah abstrak yang dihantar diterima pihak penganjur. Jika bernasib baik, ada penganjur bersetuju dan ada kalanya mereka tidak mengenakan sebarang yuran langsung kepada pembentang. Antaranya ialah satu persidangan yang berlangsung bulan lalu di Moscow, Russia dan satu lagi pada Januari 2010 di Amerika. Senario di Barat ini secara tidak langsung menunjukkan dua perkara penting. Pertama, dalam keadaan kemelesetan ekonomi seluruh dunia hari ini, kita perlu respons secara positif untuk tidak terus menjadikan kemerosotan sebagai alasan untuk tidak produktif ber-kongsi ilmu. Kedua, di sinilah kebijaksanaan manusia teruji untuk kreatif menggunakan pelbagai kemudahan yang ada dengan kemudahan internet sebagai medium berkuasa dunia keluar daripada landasan yang membabitkan penggunaan internet hanya kepada aktiviti kurang bermanfaat.
Dalam hal ini, boleh dikatakan negara Barat bijak mengeksploit teknologi dalam kegawatan yang dalam kata lain boleh dicontohi bahagian lain di dunia. Mungkin penganjur persidangan di Malaysia boleh mengambil contoh ini untuk melebarkan penyertaan pada peringkat antarabangsa dalam persidangan yang dianjurkan. Malah, trend hari ini juga menunjukkan sesi penting seperti sesi ucaptama oleh sarjana terkenal dalam sesuatu bidang itu turut mula dijalankan secara virtual, dengan menyiarkan video ucapan itu secara langsung dan interaksi dengan peserta persidangan boleh dijalankan secara langsung setelah ucaptama berakhir. Dengan aplikasi baru terhadap teknologi sedia ada, tidak keterlaluan jika dikatakan ia merangsang kreativiti manusia ke arah perkongsian ilmu yang lebih sejagat.

Agama

Golongan siddiq mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah
Oleh Ibrahim Abdullah
SIFAT siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq. Dari Abdullah bin Masud, Baginda bersabda bermaksud: “Sesungguhnya siddiq itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan, dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta.” (Hadis Bukhari). Abu Bakar as-Siddiq, sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai keistimewaan berbanding sahabat yang lain. Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu'abul Iman, dari Umar bin al-Khattab: “Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat maka akan lebih berat keimanan Abu Bakar.” Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji keislaman Abu Bakar, seperti dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wal al-Nihayah: “Tidak aku mengajak seorang masuk Islam, tanpa ada hambatan, keraguan, tanpa me-ngemukakan pandangan dan alasan, hanyalah Abu Bakar. Ketika aku menyampaikan ajakan itu, dia langsung menerimanya tanpa ragu-ragu sedikitpun. Puncaknya adalah pada peristiwa Israk dan Mikraj, di mana semua manusia mendustai Rasulullah SAW, namun Abu Bakar yang membenarkan kejadian itu.”
innity_country = "MY";
innity_client = "17";
innity_zone = "761";
innity_channel = "";
innity_keyword = "";
Oleh itu, Abu Bakar mendapat jolokan as-Siddiq. Gelaran as-Siddiq ini adalah pemberian Allah melalui lisan Rasulullah SAW, sebagaimana yang dikatakan Ali Abi Talib. Dengan demikian hal ini menunjukkan bahawa siddiq merupakan sifat yang mempunyai nilai tertinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar.” (Surah al-Ahzab: 35). Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.
Firman Allah bermaksud: “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi, golongan siddiqin, syuhada dan salihin, mereka itulah teman sebaik-baiknya.” (Surah al-Imran: 69). Kedudukan apakah yang paling mulia di akhirat selain nabi dan syuhada serta orang salih. Hal ini menunjukkan betapa siddiq adalah sifat yang sangat disukai Allah SWT. Jika tidak, tentu Allah tidak akan menjanjikan sesuatu yang sangat tinggi kepada mereka. Orang yang siddiq memiliki beberapa ciri, di antaranya adalah: l Teguh dan tegar terhadap apa yang diyakininya.
l Tidak ragu untuk berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa. l Memiliki keimanan kepada Allah, Rasulullah SAW, berinfak (sedekah atau sumbangan), mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janji dan sabar. l Mempunyai komitmen yang kuat terhadap Islam. Cara meraih sifat siddiq ialah : l Sentiasa memperbaharui keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Kerana asas dari sifat siddiq ini adalah kuatnya keyakinan kepada Allah. l Melatih diri untuk bersikap jujur, ikhlas di mana pun berada dan bila-bila masa saja, kerana kejujuran dan keikhlasan adalah karakter mendasar sifat siddiq. l Melatih diri untuk sentiasa membenarkan sesuatu yang datang dari Allah (al-Quran dan Sunnah), kerana kebenaran mutlak hanya milik Allah. Sementara ijtihad manusia masih sangat memungkinkan adanya kesalahan. l Sentiasa melatih diri untuk komitmen dengan Islam dalam segala aspeknya, akidah, ibadah, akhlak dan syariah. Kerana salah satu ciri siddiqin adalah memiliki komitmen yang tinggi terhadap Islam. l Selalu menghayati ayat Allah, hadis Rasulullah SAW mengenai sifat siddiq, kerana menghayati ayat dan hadis juga cara tersendiri yang sangat membekas dalam jiwa manusia. l Sentiasa membuka kehidupan salafus salih, terutama pada sikap mereka yang menunjukkan jujur dan benar. l Memperbanyak zikir dan amalan sunnah, kerana ia akan menjadikan hati tenang dan tenteram serta mudah dihiasi sifat siddiq. Yang dikhuatirkan adalah munculnya sifat kazib (dusta) dari dalam jiwa. Ini kerana tabiat hati, jika tidak dihiasi dengan sifat yang positif, maka ia akan terisi dengan sifat negatif. Oleh kerana itu mengawal hati dengan menjauhi sifat munafik dan pendustaan, boleh menjadi seseorang memiliki sifat siddiq.