Thursday, October 22, 2009

Jangan Zalim Sesama Manusia

Jangan zalim sesama manusia
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (siri 57)
Al-Maraghi berkata: "Dalam perbincangan sebelum ini, telah membicarakan tentang Perang Uhud dan peristiwa-peristiwa penting. Kemudian dinyatakan juga kisah Perang Badar dan kemenangan umat Islam, walaupun jumlah tentera Islam dan persiapan mereka amat kecil.
"Sehubungan itu, ayat-ayat ini dan berikutnya, Allah SWT mengingatkan mereka bahawa adanya peraturan Ilahi yang berlaku kepada makhluk-Nya".
Iktibar dan fiqh ayat ke-137
i. Ibn Kathir berkata: "Allah berfirman dengan berucap kepada hamba-hamba-Nya apa yang terjadi musibah pada hari peperangan Uhud dan yang terbunuh seramai 70 orang".
ii. Al-Maraghi berkata: "Berjalanlah kamu di atas muka bumi. Perhatikanlah beberapa kejadian yang telah berlaku kepada beberapa umat sebelum kamu supaya kamu memperoleh ilmu yang benar didasari oleh kenyataan dan pengalaman dan ambillah pengajaran daripada kejadian itu. "Sesungguhnya pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sering terjadi kepada beberapa umat terdahulu. Walau bagaimanapun kebenaran akan memihak kepada mereka serta berjaya mengalahkan kebatilan.
"Sesungguhnya kemenangan ini diperoleh mereka kerana semangat yang teguh berjuang dengan sabar dan takwa".
iii. Hamka berkata: "Dalam ayat yang lalu Tuhan menerangkan sekiranya mereka berpegang teguh pada kesabaran, takwa dan tawakal malaikat pun akan datang membantu. Menang dan kalah suatu perjuangan tidaklah bersangkut dengan benar dan salahnya suatu pendirian atau cita-cita.
"Allah SWT mempunyai Sunnah atau undang-undang terhadap sebarang perkara yang berlaku secara langsung atau tidak".
iv. Al-Sonhadji berkata: "Ayat ini mengingatkan kepada mereka bahawa sebelum kamu telah ada beberapa sunatullah pada umat-umat yang telah lalu. Ada yang binasa dan terhapus dari muka bumi kerana mereka menyalahi pengajaran yang dibawa oleh para Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada mereka.
"Bahkan mereka utamakan kenikmatan dan kelazatan dunia semata-mata".
Iktibar dan fiqh ayat ke-138
i. Ayat ini merupakan penolakan yang kuat terhadap kaum musyrikin dan munafik yang masih diserang perasaan ragu-ragu terhadap Rasulullah SAW.
Mereka mengatakan, sekiranya baginda itu seorang rasul yang benar, tentu baginda tidak akan kalah dalam Perang Uhud. Maka petunjuk dan penjelasan ayat ini member bimbingan bahawa peraturan Ilahiyyah itu berlaku pada semua nabi dan rasul sebagaimana yang berlaku kepada semua makhluk Allah SWT.
Berhubung ayat ini, ia merupakan petunjuk dan nasihat kepada orang yang bertakwa khususnya sebab mereka sahaja yang berpegang dengan kebenaran seperti ini.
Mereka juga mahu menjadikan segala hal yang telah terjadi sebagai pengajaran dan berpegang dengan petunjuk al-Quran dan mematuhi nasihat-nasihatnya.
ii. Muhamamd Quraish Shihab berkata: "Ayat ini memerintahkan untuk mempelajari sunnah iaitu kebiasaan-kebiasaan atau ketetapan Ilahi dalam masyarakat. Sunnatullah adalah kebiasaan Allah SWT dalam memperlakukan masyarakat".
iii. Hamka berkata: "Mempelajari sejarah umat-umat terdahulu dan melihat bekas tapak sejarah peninggalan mereka memberi manfaat dan pengajaran yang sempurna menghadapi mehnah cabaran dan dugaan yang sangat hebat di akhir zaman ini.
"Ilmu kita akan bertambah-tambah tentang perjuangan hidup manusia di alam ini".
iv. Al-Sonhadji berkata: Perkataan yang bermaksud 'ini' dimaksudkan al-Quran, ataupun isyarat kepada yang telah lalu daripada suruhan-suruhan dan tegahan-tegahan Allah yang menyebabkan beroleh pahala atau seksa, adalah ia merupakan penerangan bagi semua manusia. "Penerangan tersebut mengandungi hidayah (petunjuk) bagi manusia supaya ia jangan sampai tersesat. Dan penerangan tersebut mengandungi mauizah (pengajaran) bagi orang yang takwa (takut) supaya ia jangan sampai mengerjakan yang tidak patut".
Iktibar dan fiqh ayat ke-139
i. Al-Maraghi berkata: "Janganlah kamu berasa lemah untuk berperang dan melengkapkan diri disebabkan oleh kecederaan dan kegagalan kamu dalam Perang Uhud.
"Janganlah kamu menjadi sedih dengan adanya beberapa orang yang meninggal pada hari itu. Adakah wajar kamu berdukacita dan berasa hina padahal kedudukan kamu lebih tinggi daripada mereka?
"Sesungguhnya telah menjadi peraturan Ilahi bahawa setiap hasil yang baik itu akhirnya akan berada di tangan orang yang bertakwa kerana inilah golongan yang tidak menyalahi segala peraturan Ilahiah.
"Bahkan mereka ini akan tetap membela orang yang mahu menegakkan kebenaran dan keadilan".
ii. Hamka berkata: "Setelah selesai peperangan Uhud yang telah mengorbankan 70 syahid antaranya Hamzah bin Abdul Muthalib, pakcik Rasulullah SAW.
"Baginda SAW sangat kecewa dan berdukacita di atas perkembangan yang melanda mereka semua. Allah SWT mengetahui segalanya dan yakin dengan perkembangan yang berlaku di sana".
iii. Al-Sonhadji berkata: "Dan ayat ini merupakan perangsang atau galakan memberi semangat kepada mereka".
Iktibar dan fiqh ayat ke-140
i. Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini menjadi dalil bahawa kehendak bukanlah perintah sebagaimana kata ahli sunnah. Allah SWT melarang orang kafir membunuh orang beriman seperti Hamzah r.a dan sahabatnya tetapi menghendaki pembunuhan tersebut".
ii. Al-Maraghi berkata: "Jika dalam Perang Uhud, senjata telah melukai kamu, sesungguhnya pada hari itu kaum musyrik juga mengalami nasib yang sama. Antara mereka ada juga yang terbunuh seperti keadaan yang menimpa kamu. Mereka juga tidak memperoleh kemenangan. "Kesimpulannya, kamu tidak boleh berhenti daripada berjihad. Sebenarnya kamu tidak ada sebarang alasan untuk berhenti daripada berjihad disebabkan kecederaan yang menimpa kamu.
"Ini kerana musuh-musuh kamu turut sama mendapat luka seperti kamu sebelum Perang Uhud lagi. Walaupun mereka berada dalam kebatilan, tetapi mereka tidak sedikit pun berputus asa atau berasa lemah semangat untuk berperang.
"Seharusnya kamu lebih wajar mempunyai semangat yang membara kerana kamu telah mengetahui adanya janji baik pada kemudian hari, dan kamu berpegang dengan kebenaran".
iii. Hamka berkata: "Meskipun perjuangan di medan Uhud, kamu ditimpa kekecewaan bukan bermaksud Allah SWT menyukai orang kafir dan zalim tetapi keluarga yang selalu mengikuti perkembangan dan sebagainya tidak akan leka dan cuai".
iv. Al-Maraghi berkata: "Peredaran hari itu merupakan sunnatullah (ketetapan-Nya) bagi kepentingan pergaulan sesama manusia yang digambarkan-Nya seperti sebuah pemerintahan. "Maka pemerintahan itu terkadang beredar kepada golongan orang-orang yang memperjuangkan kebatilan dan terkadang pula beredar kepada golongan orang-orang yang memperjuangkan kebenaran atau yang hak, tetapi biasanya kesudahan kemenangan itu berada di pihak yang hak dan benar".
Iktibar dan fiqh ayat ke-141
i. Al-Alusi berkata: "Supaya Allah membersihkan mereka dari sebarang dosa dan mensucikan mereka daripada maksiat dan kejahatan".
ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Gugur dalam peperangan di jalan Allah SWT dinamakan mati syahid kerana para malaikat menghadiri pengebumiannya.
"Syahid bererti objek atau subjek. Ada juga yang mengumpamakan kesaksian atau penyaksian. Setiap yang syahid sudah dijanjikan ganjaran syurga untuk mereka kerana ikhlas dalam perjuangan di jalan Allah SWT".
iii. Hamka berkata: "Di dalam kejadian ini kita melihat betapa pentingnya satu-satu kejadian sejarah yang kadang-kadang menjadi kuat untuk terbitan dan permintaan orang ramai supaya memutuskan hak dan batil.
"Orang Islam dilarang mengumpat dan mengeji sesiapa sahaja melainkan keizinan dari seseorang atau pada perkara yang munasabah".
iv. Al-Sonhadji berkata: "Allah memperedarkan hari-hari itu sebagai hari ujian yang perit dan payah gunanya ialah supaya dapat dibersihkan keimanan orang-orang yang masih lemah daripada kekotoran sifat nifak atau dosa yang mereka lakukan, dan dibinasakan orang-orang kafir itu dengan meletakkan perasaan putus asa yang menakluki hati mereka".
Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dengan merenungi kisah lampau. Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang berbahagia. Amin.

Tuesday, October 20, 2009

Buat Renungan Bersama

Minum arak petanda tragedi ummah
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
WALAUPUN terdapat larangan namun ia sering tidak diendahkan apabila ketagihan arak menguasai diri sesetengah umat Islam.
Kisah 1
SEORANG rakan wartawan, N menceritakan pengalaman benarnya ketika bertugas di luar negara apabila di hadapan mata kepalanya sendiri, dua pemuda Melayu sepuas-puas hati meneguk arak seperti kehausan yang amat sangat di padang pasir!
Menerima arahan bertugas keluar negara biasanya memang mengujakan kerana pelbagai pengalaman baru bakal dirasai dan tempuhi. Walaupun saya selalu juga menghabiskan masa bercuti di luar negara namun bertugas atas nama wartawan akan ada cabaran yang tersendiri.
Pada Ogos lalu, saya dihantar ke Bangkok, Thailand untuk satu liputan pelancaran kamera terbaru oleh sebuah syarikat pengeluar produk pengimejan yang terkenal.
Lazimnya untuk tugasan seperti ini, saya akan bersama dengan rakan-rakan setugas yang bukan berbangsa Melayu atau Islam dan saya juga akan membawa bekalan makanan sendiri kerana sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.
Tetapi dalam tugasan kali ini saya rupa-rupanya turut ditemani dengan dua lagi rakan media iaitu dua pemuda Melayu.
Ini menyebabkan saya rasa sungguh lega kerana pihak penganjur pastinya akan cuba menyediakan makanan yang halal berikutan ramainya petugas yang beragama Islam. Atau sekurang-kurangnya berasaskan vegetarian.
Tetapi apa yang berlaku lebih memeranjatkan. Iaitu sejurus tiba di Bangkok, tanpa membuang masa saya terus berkenalan dengan dua pemuda Shamsul dan Shah (bukan nama sebenar) dan terus berborak banyak perkara kerana kami tidak pernah bertemu sebelum ini sehinggalah di Bangkok ini pertama kali bertemu.
Semasa acara perasmian yang diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang di tengah-tengah kota Bangkok itu, kami kemudiannya diajak untuk menikmati hidangan dalam satu jamuan.
Menyedari mengenai status halal haram pelbagai juadah yang dihidangkan saya hanya mampu meneguk segelas minuman ringan berjenama yang dihulurkan kepada saya. Satu-satunya minuman yang halal walaupun saya kurang menggemari minuman berais dan bergas ini.
Minuman yang sama dihulurkan kepada Shamsul dan Shah, "Anda boleh minum ini," katanya.
Tetapi tanpa saya sangka, Shamsul dan Shah dengan tanpa rasa bersalah atau lebih tepat muka yang selamba mereka terus mencapai gelas kaca berkaki tinggi yang telah diisi arak ke dalamnya.
Tanpa segan silu mereka terus meneguk arak yang dituang separuh gelas itu sehingga habis.
Sambil mengesat mulut dengan tangan mereka kemudiannya seperti berpuas hati. Seolah-olah mereka telah menunggu lama untuk menikmati arak itu. Akhirnya apabila peluang tersebut tiba, tanpa perlu menunggu lama dari satu gelas ke satu gelas yang lain mereka berpesta arak pada malam itu.
Dalam keadaan terkejut itu saya merenung tajam perbuatan mereka sambil mengerling mata, namun Shamsul dan Shah tidak boleh ditahan-tahan lagi untuk mereka terus menikmati 'air kencing syaitan' itu.
Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, kecewa dan sedih melihatkan perlakuan aib dan mungkar yang dilakukan oleh anak Melayu yang beragama Islam itu.
Dalam usia lewat 20-an tidak mungkin mereka jahil soal haram halal minuman yang diharamkan oleh Islam itu.
Lainlah kalau mereka mungkin pernah belajar di luar negara sebelum ini menyebabkan ada tabiat buruk yang mereka hendak dikekalkan.
Tabiat buruk mereka semakin menjadi-jadi apabila makanan yang pastinya tidak halal turut dijamah mereka dengan begitu berselera, sambil diselang seli dengan arak yang dikatakan antara terbaik pernah mereka minum.
Semua ini menjadikan tekak saya semakin mual melihat tabiat buruk pemuda-pemuda Islam ini. Di masa-masa lain, Shamsul dan Shah juga tidak melepaskan peluang untuk memesan bir. Bir-bir gelas besar dengan buih-buih yang memenuhi permukaan gelas itu dinikmati oleh mereka dengan tanpa sedikit pun rasa bersalah!
Saya tidak nafikan mereka mempunyai kemahiran meminum arak! Apa jenis arak dan bir sekalipun mampu mereka minum dalam jumlah yang besar dan tidak mabuk! Ini bermakna mereka telah lama terjebak dalam aktiviti terkutuk ini.
Tinggal lagi kini segala-galanya terhidang dengan percuma, pelbagai jenis iaitu sama ada wain putih atau merah dan berjenama antarabangsa, ini menjadikan misi sebenar Shamsul dan Shah ke Bangkok ini benar-benar untuk menikmati arak.
Di hari akhir tugasan di satu majlis penutup yang diadakan di sebuah restoran kapal terapung, Shamsul dan Shah seperti tidak sanggup berpisah dengan minuman dan makanan yang haram.
Lalu merekalah yang paling kenyang dan sendawa dengan bau busuk arak pada malam itu!
Baru-baru ini kami bertemu semula dalam satu majlis berbuka puasa di sebuah hotel di tengah-tengah Kuala Lumpur, Shamsul seolah-olah cuba menyindir saya: "Akak, halalkah ke kita makan di sini?," katanya. Mereka benar-benar kurang ajar!
Kisah 2
Seorang lagi rakan M pula turut mengalami pengalaman pedih sindrom orang Islam yang lupa daratan baru-baru ini. Iaitu di sebuah hotel lima bintang di sebuah pulau yang terkenal sebagai syurga pelancongan di utara Semenanjung.
M ketika itu menerima jemputan tugasan sebuah syarikat elektronik terkenal yang hendak melancarkan sebuah produk terbaru mereka.
Yang turut bersama dengan M ramainya kalangan bukan Islam dan beberapa jemputan lain yang berbangsa Melayu.
Sehinggalah ketika berada di lobi hotel untuk berehat selepas penat menghabiskan masa untuk membeli belah di Pekan K, tiba-tiba muncul Azman (bukan nama sebenar) yang juga salah seorang jemputan untuk ke majlis itu.
Sambil mengesat peluh di dahi kerana kepenatan, Azman berkata dengan nada suara bangga, "Tak sangka, murah gila!," katanya berulang kali.
M yang tidak tahu menahu apa-apa, lantas bertanya apa yang dimaksudkan oleh Azman itu.
Wajah Azman yang asalnya tadi begitu ceria terus berubah dan tidak semena-mena beliau terus meminta maaf dari M sebelum memberitahu perkara sebenar.
"Kau jangan marah tau, saya minta maaf. Saya baru sahaja membeli arak ini, tak sangka pula harganya murah di sini," katanya sambil menunjukkan beberapa tin bir daripada sebuah beg plastik.
"Arak?," jerit M dengan terkejut.
"Arak Jepun, tak sangka di sini harganya murah sangat, saya apa lagi tak lepaslah dari membelinya," kata Azman lagi.
M terkedu dengan kata-kata Azman itu yang terus berlalu sambil meneguk arak tersebut.
Di majlis lain, Maria juga dapat melihat seorang wanita Melayu yang di hadapan mejanya terdapat beberapa gelas minuman keras.
Maria tidak mahu menyangka buruk kerana tidak melihat wanita itu seperti gaya kaki minum.
Tetapi M kemudiannya difahamkan wanita Melayu itu juga gemar menghabiskan masa dengan meneguk arak.
Apakah hikmah di sebalik isu Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang minta hukuman rotan atas kesalahan beliau meminum arak tetap dilaksanakan terhadapnya?
Kes beliau ini sebenarnya telah membuka mata banyak pihak dan mengakui pada hari ini bukan sahaja Kartika tetapi telah terdapat ramai di kalangan umat Islam di negara ini menderhaka terhadap hukum dengan meminum arak dengan sengaja!
Sedangkan hukum haram minum arak telah mereka ketahui dengan jelas dan mereka tahu bahawa ayat berikut tidak pernah berubah sehingga kiamat.
Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (al-Maidah: 90)
Mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria berkata, ayat tersebut tidak akan mengalami sebarang penafsiran baru untuk apa tujuan sekalipun.
Sehingga kiamat arak tetap dihukumkan haram dan sesiapa yang meminumnya dengan sengaja dikategorikan melakukan dosa-dosa besar.
"Lebih malang lagi, 40 hari amalannya selepas meminum arak itu tidak akan diterima oleh Allah hatta sekalipun dia melakukan pelbagai ibadat yang khusus, melakukan amal kebajikan terhadap orang lain, menasihatkan orang lain dan sebagainya semua itu sudah tidak ada maknanya lagi," katanya.
Beliau cukup kecewa pada hari ini apabila semakin ramai umat Islam yang minum arak tanpa segan silu lagi terhadap Allah dan pandangan mata umat Islam yang lain.
"Malah menunjuk-nunjuk dan menganggap mereka yang tidak minum arak sebagai kolot dan ketinggalan zaman sedangkan arak sangat membabitkan satu perundangan dan hukum yang sangat jelas.
"Arak adalah ibu kepada segala kejahatan, manusia menjadi tidak waras, tidak tenang hati, kosong jiwanya malah lebih teruk lagi penyaksiannya tidak boleh dipakai sekalipun pada masa itu si polan tersebut tidak meminum arak," tegasnya.
Menurut Kamaruddin, jika seawal usia 17 tahun, remaja Islam sudah pandai meminum arak, semua ini tidak bezanya andai si awal usia itu mereka menagih rokok, dadah, judi dan sebagainya, maka gelaplah masa depan mereka.
Namun sesetengah peminum arak ini tadi merujukkan perbuatan kalangan berbangsa Arab beragama Islam yang dikatakan kuat meminum arak, ini menjadikan alasan kepada umat Islam hari ini untuk menjadi kaki botol.
"Dalam soal ini perbuatan yang buruk tentunya tidak boleh dijadikan contoh. Orang Arab ini tahu mengenai soal pengharaman arak tetapi mereka pandai berdalih.
"Sedangkan Saidina Omar al Khattab ketika mula-mula memeluk Islam, terus membuang isi kandungan dan botol-botol arak yang selama ini turut menjadi kegemaran beliau. Dihempas botol-botol itu sehingga berkecai," katanya.
Menurut Zakaria, sudah tiba masanya negara tidak sahaja kini memerlukan pusat pemulihan dadah tetapi pemulihan terhadap minum dan ketagihan arak.
"Pusat seperti ini sangat perlu dan ia juga bukan sahaja untuk umat Islam tetapi semua kaum dan agama yang mahukan kegemaran dan ketagihan arak ini perlu dihentikan.
"Kita sayangkan semua orang, kita sayangkan masyarakat majmuk kita agar semuanya sihat dan waras agar negara yang kita diami bersama bertambah makmur maka pusat seperti ini perlu ditubuhkan segera," katanya.
Tambah beliau penubuhan ini tidak bertujuan menafikan hukuman rotan dan denda terhadap peminum arak di kalangan umat Islam.
"Aspek penguatkuasaan itu memang penting tetapi sebelum hukuman itu dijalankan si pesalah perlu dipulihkan dahulu.
"Andai jika mereka masih degil dan masih mahu meminum arak, maka hukuman yang berat perlu dijalankan terhadapnya," jelasnya.
Kamaruddin meminta umat Islam yang terjebak supaya segera berhenti sebelum arak teruk merosakkan diri mereka.
"Hijab hidayah dari Allah akan tersingkap, nur atau cahaya Islam tidak akan masuk dan mereka tidak akan mencapai kemenangan walaupun mempunyai perjuangan yang suci dan murni dalam hidup," katanya.
Justeru beliau berharap agar perbuatan minum arak ini mesti dicegah oleh semua pihak.
"Untuk pencegahan yang berkesan memerlukan usaha yang bijak dan penuh berhikmah. Di samping perlu tabah dan berterusan," katanya.
Beliau menegaskan umat Islam yang minum arak adalah satu tragedi ummah yang membawa petanda kelemahan dan boleh dijajah oleh kejahatan dan akhirnya Islam mampu tinggal hanya pada nama!
Dalam salah satu kisah diceritakan, bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mendera orang-orang yang minum arak dan yang ikut menyaksikan perjumpaan yang terhidang arak di dalamnya.
Sekalipun orang yang menyaksikan itu tidak turut minum bersama mereka.
Dan diriwayatkan pula, bahawa pernah ada suatu kaum yang mengadu kepadanya mengenai ada kalangan ahli kaumnya yang minum arak.
Umar kemudiannya memerintahkan agar semuanya didera.
Lantas ada orang yang berkata: "Bahawa di antara mereka itu ada yang berpuasa wahai Umar".
Maka jawab Umar: "Dera dulu dia (yang berpuasa ini)!"
Apakah kamu tidak mendengarkan firman Allah yang mengatakan: Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepadamu dalam al-Quran, bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah ditentangnya dan diejeknya. Oleh kerana itu jangan kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka itu tenggelam dalam omongan lain, sebab sesungguhnya kamu kalau demikian keadaannya adalah sama dengan mereka. (an-Nisa': 140)," kata Umar dengan tegas.

Tuesday, October 13, 2009

Seminar Dasar Malaysia

Dasar Ekonomi Baru (DEB) : Masalah dan Cabaran Dalam Pembasmian Kemiskinan

Rusniyati Mahiyaddin, Sharliana Che Ani

Membasmi kemiskinan merupakan satu dasar penting dalam agenda pembangunan Malaysia. DEB diperkenalkan dengan tujuan meneutralkan keadaan di samping menjadi jentera penggerak dengan matlamat serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula aktiviti ekonomi masyarakat. DEB telah dilancarkan pada tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2) bertujuan menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini selain menyemai nilai perpaduan erat antara kaum yang terdapat di Malaysia. (Arif Nizam Abdullah, 2009). Selain itu, DEB juga merupakan program jangka panjang yang berlangsung selama 20 tahun iaitu dari 1970-1990 dan kemudiannya telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional yang bermatlamat mewujudkan perpaduan yang erat dalam kalangan semua kaum majoriti di Malaysia. Dasar ini juga dirancang dalam usaha memperbaiki keadaan dan kerajaan juga telah menyedari bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang adalah sangat signifikan ke arah mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain. Matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB), 1971-1990 adalah mengurangkan kadar kemiskinan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 16.7 peratus pada tahun 1990. Justeru, kertas kerja ini membincangkan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pihak kerajaan dan mereka yang terlibat dalam usaha membasmi kemiskinan di Malaysia.

Kata kunci : Dasar Ekonomi Baru; kemiskinan; masalah;

Thursday, October 8, 2009

Buat Renungan Bersama... Ambillah Iktibar Daripadanya

50 Perkara Dari Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Latar belakang Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
- Umur - 53 tahun
- Pendidikan - SPM
- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
- Kekayaan -RM1,425 juta
- Ke 7 terkaya di Malaysia
- Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
- Kereta - Proton Perdana
- Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary,institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.
- Bagaimana sumbangan sosialnya bermula - Bilamana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya.. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7.. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .
30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional.. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.
50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

Friday, October 2, 2009

SEKADAR BEBERAPA PENULISAN YANG DILAKUKAN

Khairul Hamimah Mohammad Jodi, Sharliana Che Ani, Sofia Elias & Rusniyati Mahiyaddin. (2006). Pelaksanaan E-Pembelajaran di IPTS: Satu Pengalaman di UNITAR. Seminar E-Pembelajaran : Peningkatan Kualiti Dalam Pendidikan Tinggi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 9 - 10 December 2006.

Khairul Hamimah Mohd Jodi, Rusniyati Binti Mahiyaddin, Penggunaan Bahasa Melayu Membentuk Jatidiri Pelajar . Satu Kajian Kes di UNITAR. Prosiding, Seminar Antarabangsa Dialek-dialek Austronesia di Nusantara III, Universiti Brunei Darussalam. 24 – 26 January 2008.

Sharliana Che Ani, Sofia Elias, Rusniyati Mahiyaddin, Kesignifikanan Subjek Pemikiran Kritis Ke Arah Pembangunan Modal Insan : Satu Kajian Awal di Sebuah IPTS. Prosiding, Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2008, Universiti Teknologi Malaysia ,22-23 Oktober 2008.

Rusniyati Mahiyaddin, Pilihanraya ke-12: Satu Perubahan di Malaysia, Prosiding, Seminar Politik Malaysia, UiTM Sabah. 28-30 Oktober 2008.

Khairul Hamimah Mohd Jodi, Faridah Che Hussein, Rusniyati Mahiyaddin, Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Mempereratkan Hubungan Etnik Di Malaysia: Kajian Kes Terhadap Pelajar Kursus Pengajian Umum Di UNITAR, Prosiding, Pertemuan Linguistik UTARA 6 Seminar Internasional, Iniversitas Sumatera Utara, Medan Indonesia. 2-3 March 2009.

Sharliana Che Ani, Sofia Elias, Rusniyati Mahiyaddin, Kesignifikanan Subjek Pemikiran Kritis ke arah Pembangunan Modal Insan: Satu Kajian Awal di Sebuah IPTS, Prosiding, Seminar Pembangunan Modal Insan (SEMAI 2009), Kolej Teknologi Darul Naim Kelantan, 23-24 Mac 2009.

Rosalyne Gelunu & Rusniyati Mahiyaddin, Pendidikan Wahana Hubungan Diplomatik Malaysia-China, Prosiding, Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu, Beijing, China. 31 Mei-3 Jun 2009.

Norazimah Zakaria, Rusniyati Mahiyaddin & Siti Nor Amira Baharudin, Cerita Mitos Cina dan Cerita Mitos Melayu : Satu Kajian Perbandingan, Prosiding, Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu, Beijing, China. 31 Mei-3 Jun 2009