Thursday, March 26, 2009

Rahsia Surah Yassin Ayat 58

RAHSIA SURAH YASSIN AYAT KE 58
Barangsiapa yang membaca YAASIN sepenuhnya dan pada ayat ke 58 surah tersebut "SALAAMUN QAULAN MIN RABBIN RAHIM" diulang sebanyak 7 kali untuk 7 niat baikmu, Insya Allah dengan izin Yang Maha Esa dan Maha Kuasa, semua hajatmu akan dikabulkan.Jika boleh niatkan sebegini:
1) YA-ALLAH YA-RAHIM, ampunkan dosa-dosaku dan saudara-maraku
2) YA-ALLAH YA-RAHMAN, kurniakan aku isteri,suami, anak-anak yang soleh dan mencintai islam
3) YA-ALLAH YA-RAZZAK, kurniakan aku rezeki yang berkat,kerja yang baikdan berjaya didunia dan akhirat.
4) YA-ALLAH YA-JABBAR, makbulkan hajat penghantar maklumat yang akudapat ini
5) YA-ALLAH YA-MUTAQABBIR, jauhkan aku dari sifat khianat dan munafiqdan miskin
6) YA-ALLAH YA-WADUUD, kurniakan aku dan seluruh umat Muhammad yangberiman kesihatan zahir batin
7) YA-ALLAH YA-ZALJALA LIWAL IKRAM, makbulkanlah semua hajatku, danredhaikanlah aku.....
AMIN

Sekadar Jenaka

Pada satu hari, Pak Ali pergi ke hutan untuk mencari kayu api. Pabila lalu kat kawasan tasik, Pak Ali tergelincir dan kapak buruknyeterjatuh dalam tasik tu. Maka datanglah Pari Pari Tasik kepada Pak Ali.
Pari Pari: Kenapa dengan kau?
Pak Ali: Kapak aku terjatuh ke dalam tasik. Pari Pari pun menyelam dan kembali bersama kapak perak.
Pari Pari: Inikah kapak kamu?
Pak Ali: Tidak. Pari Pari pun menyelam dan kembali bersama kapak emas.
Pari Pari: Inikah kapak kamu?
Pak Ali: Tidak, kapak aku buruk sahaja. Pari pari pun menyelam dan kembali bersama kapak buruk.
Pari Pari: Inikah kapak kamu?
Pak Ali: Ya, itulah kapak buruk aku. Pari Pari Tasik suka sikap Pak Ali yang jujur itu lalu memberikan ketiga-tiga kapak itu kepadanya.
Pada hari lain pulak.
Pak Ali berjalan di sekitar tasik yang sama bersama isterinya. Kali ni isterinye plak yang jatuh ke dalam tasik.Pak Ali susah h ati . Maka datanglah Pari Pari Tasik kepada Pak Ali..
Pari Pari: Kenapa kau bersedih?
Pak Ali: Isteriku jatuh ke dalam tasik. Pari Pari pun menyelam dan kembali bersama Angelina Jolie.
Pari Pari: Inikah isteri kau?
Sambil menangis Pak Ali menjawab... "ya, itulah isteriku..."
Pari Pari pun marah, "Sungguh ku tak sangka, kau yang jujur satu masa dulu telah menjadi tamak".
Sambil menahan pilu Pak Ali menjawab, "Aku bukan tamak, kalau aku kata 'tidak' pada Angelina Jolie... kau akan bawakan pula PamelaLee...kalau aku katakan 'tidak' juga, barulah kau bawakan isteriku...bila aku kata 'ya', kau akan berikan mereka bertiga padaku...". Aku yang miskin nitak mampu tanggung mereka semua"..

Sambungan Tentang Solat

Ada yang bertanya… mengapa dosa meninggalkan solat itu sangat besar di sisi Allah SWT?
Kisahnya begini…


“…Memang sejak mula, Allah hendak menciptakan khalifahNya (pemimpin) dari jenis manusia, yang akan memakmurkan planet bumi ini. Tetapi ada di kalangan malaikat yang membantahnya (rujuk terjemahan Surah Al-Baqarah, ayat 30). Ini kerana malaikat beranggapan bahawa jenis manusia yang akan diciptakan itu akan membuat kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah sesama mereka, berperang memusnahkan harta benda dan jiwa. Sedangkan para malaikat sentiasa bertasbih mensucikan Allah SWT.

Tetapi apabila manusia yang dipertikaikan oleh malaikat itu melakukan solat dengan bersungguh hati dan khusyuk, maka Allah SWT merasa megah dan membuktikan kepada malaikat bahawa bantahan malaikat dulu itu tidak benar.

Sebab itulah orang yang tidak mengerjakan solat, disifatkan sebagai cuba hendak memalukan Allah SWT di depan para malaikat kerana malaikat pernah memprotes dengan menjelaskan ciri-ciri manusia yang tidak patuh. Sedangkan memalukan ibu bapa pun sudah dikira sesuatu perbuatan yang berat, betapa pula jika hendak memalukan Allah SWT?

Oleh kerana orang yang enggan mendirikan solat itu disifatkan sebagai memalukan Allah SWT, maka sebab itulah di akhirat kelak Allah SWT akan mengazabnya serta menyiksa orang itu dengan api neraka yang maha dahsyat itu.”


Begitulah kisahnya bagi orang yang tidak solat. Moga kita terhindar dari dibakar kelak.

Bagaimana pula kisahnya orang yang solat, tapi tidak khusyuk semasa solat? Selamatkah mereka daripada azab Allah SWT? Bersambung pada episod akan datang, insya Allah.

(Dipetik dati buku “Khusyuk Dalam Solat”)

Solat.....

Ada yang bertanya… Adakah Allah SWT menerima solat yang dilakukannya, padahal dalam masa yang sama dia masih banyak melakukan dosa?
Cuba ikuti situasi ini:

"…Bolehkah anda bayangkan bagaimana perasaan seorang anak yang lari meninggalkan rumah, kemudiannya kembali semula setelah menghadapi kesulitan dan kepayahan. Ketika ia tiba di ambang pintu rumahnya, tangannya merasa berat untuk mengetuk daun pintu. Tetapi dalam keadaan terdesak dan tiada pilihan, ia terpaksa pulang ke pangkuan orang tuanya, dalam keadaan berat ia memberanikan diri untuk memasuki rumah tersebut dan sekaligus ia menghadap orang tuanya.

Sukar untuk dibayangkan betapa malunya dan berat hatinya untuk menemui kembali orang tuanya, lebih-lebih lagi mengingatkan tindakannya yang lalu begitu nekad untuk melawan dan menyinggung perasaan orang tuanya yang penyayang itu, ia bersikap biadap terhadap mereka. Kini ia terpaksa pulang semula dengan kehadiran membawa hati yang insaf bercampur malu serta mengharap bahawa segala kesalahannya yang lalu akan dimaafkan."

Itu suatu contoh dan gambaran perasaan yang sepatutnya ada pada setiap kali seseorang itu hendak mendirikan solat. Ia datang sebagai seorang hamba yang pernah meninggalkan dan tidak mematuhi arahan Tuhannya, tetapi terpaksa datang semula kerana ia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menemui Tuhannya melalui solat tersebut atas kesedaran bahawa hanya kepadaNya tempat ia mengharap keampunan.

Namun begitu, sifat lemah lembut atau halus budi bicara Allah SWT itu telah melimpahkan rahmat-Nya, sehingga meskipun manusia sebagai hamba ini hanya melakukan ibadah terlalu sedikit, namun Allah Yang Maha Latif itu dengan segala kemurahanNya memberikan ganjaran yang lebih. Dan mereka yang bersungguh-sungguh menyesali kesilapnya yang lepas, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

"…Umpama seorang fakir yang memberi hadiah sebiji durian kepada orang kaya, sedangkan orang kaya itu kalau membeli durian, bukan kira biji, tetapi kira bakul. Namun orang kaya yang bersikap lemah lembut tentunya tidak memperkecilkan hadiah si fakir itu, malah ia tetap menghargai dan menganggap bahawa si fakir itu telah berusaha keras untuk melakukan kebaikan."

Allah SWT lebih dari itu, dan apa yang diusahakan oleh hamba-Nya dengan tujuan untuk menghindarkan dirinya dari bencana api neraka itu tetap mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT. Oleh itu, wajarlah kta memperbaiki diri kita agar dipandang mulia oleh Allah SWT, dengan menginsafi kesalahan & derhaka yang pernah kita lakukan terhadapNya sebelum ini.

(Dipetik dati buku "Khusyuk Dalam Solat")

Wednesday, March 25, 2009

Seminar

Sharliana Che Ani, Sofia Elias, Rusniyati Mahiyaddin,Kesignifikanan Subjek Pemikiran Kritis ke arah Pembangunan Modal Insan: Satu Kajian Awal di Sebuah IPTS, Prosiding, Seminar Pembangunan Modal Insan (SEMAI 2009), Kolej Teknologi Darul Naim Kelantan, 23-24 Mac 2009.


Walaupun tajuknya sama dengan seminar yang sebelumnya... tapi fokus perbincangan kali ini adalah berkaitan CoRT Thinking Skill. Tapi malangnya tak sempat nak pergi ke Kelantan... sbb masa terlalu suntuk. Dah lama tak sampai Kelantan...

Tak mengapa insyaallah kalau ada rezeki, sampailah di lain masa.

Monday, March 16, 2009

Cari keseimbangan untuk raih ketenangan

Oleh Dr Juanda Jaya

Tanpa sentuhan hidayah jiwa sentiasa celaru, mudah diperhamba syaitan KESEIMBANGAN memegang prinsip agama dan dunia adalah tuntutan keimanan. Tekanan orang yang mengejar dunia dan melupakan akhirat, akan tidak tidur lena kerana syaitan sentiasa mengganggunya dan menakutkan mengenai bahaya kemiskinan, muflis, kehilangan harta benda dan kejatuhan kuasa. Syaitan meracuni hati manusia dengan penyakit dengki, takbur, ego, su’uzzhan, riak, putus asa ketika dihimpit musibah dan ghurur yang memadamkan cahaya iman. Syaitan menjadikan hawa nafsu sebagai gula-gula yang menyedapkan deria insan lemah. Akhirnya mereka berada dalam penjaranya, menjadi tawanan dan patuh setia terhadap arahannya.
Orang mukmin berjaya berlainan dengan orang yang tertawan dengan sifat ini. Orang mukmin setia memegang prinsip keseimbangan dalam mengharungi kehidupan dunia demi mendapatkan habuan akhirat yang menjadi cita-cita teragung dalam kehidupannya. Al-Quran dan al-sunnah, sentiasa teguh bersama keduanya dalam menghadapi cabaran dunia. Orang mukmin yang berjaya tidak pernah dilalaikan kuasa dan perniagaan kerana mampu menakluk kedua-duanya dengan iman teguh. Rasulullah SAW pernah rasai kerinduan sebegini, apabila wahyu tidak turun seketika sehingga orang kafir mengejek Baginda ditinggalkan Tuhannya. Rasulullah diuji dengan keadaan ini, menanti Jibril di atas bukit mengharap turunnya ayat menenteramkan jiwa dan menghapuskan kesedihan.
Hakikatnya, Rasulullah bukan takut dan sedih kerana gangguan orang kafir tetapi Baginda takut dan sedih jika hidayah itu tidak turun bagi menenteramkan jiwanya lagi. Sehingga surah al-Dhuha dianugerahkan untuk menghibur jiwa kekasih Allah yang rindukan ayat rahmat-Nya. Firman Allah yang bermaksud; “Demi waktu matahari sepenggalahan naik. Dan demi malam apabila sunyi (gelap). Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan). Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Bukankah dia mendapatimu sebagai seorang Yatim, lalu dia melindungimu? Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu dia memberikan petunjuk. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia memberikan kecukupan.” (Surah Al-Dhuha ayat: 1-8) Ingat kepada akhirat mampu melepaskan tekanan dihadapi seseorang. Bukankah tabiat jiwa diciptakan untuk sentiasa memerlukan hidayah Allah? Jika jiwa tidak mendapatkan sentuhan hidayah sudah tentu dia akan menjadi tidak tentu hala tuju, bercelaru dan mudah dipermainkan syaitan. Jadi, amat penting menjadi seorang perindu kepada hidayah Allah. Hidayah bukanlah jaminan kemudahan untuk menghalalkan perbuatan buruk seseorang. Apabila berbuat jahat dan mengaku belum mendapat hidayah Allah. Padahal dia menutup mata dan hatinya ketika hidayah Allah itu datang.
Hidayah perlu dicari, dipelajari dan dibuktikan dengan amalan. Hidayah bukan sekadar ilmu tanpa direalisasikan, bukan angan-angan. Untuk itu orang beriman perlu menghadirkan hatinya sentiasa bersedia menerima hidayah Allah. Petunjuk Allah berada di mana-mana, pada ayat tergambar di dalam al-Quran, pada keadaan manusia beraneka sifat dan tabiat, pada gambaran kehidupan alam semesta yang memantulkan kebesaran Allah. Hidayah itu berada dekat dengan diri manusia, amat dekat tetapi tidak diendahkan. Hidayah itu yang berbisik di hatinya, suara hati yang suci. Bukankah Allah sentiasa berada dekat dengan hamba-Nya. Seseorang perlu mengamalkan beberapa langkah untuk mendapat hidayah Allah, iaitu:
Mencari ilmu. Orang yang hatinya rindu kepada permainan, hiburan dan kelalaian dunia biasanya tiada masa untuk ilmu. Kadang-kadang mencuri masa yang sedikit untuk membaca al-Quran tanpa penghayatan. Terlepas peluang mengkaji hadis Rasulullah dan tidak terdetik di hati mempelajari sunnah dan mengamalkannya. Kedudukan ilmu bukan untuk menghantarkan seseorang pada satu gelaran alim, ustaz atau tok guru. Tetapi, matlamat menghidupkan ilmu dalam diri adalah untuk menghantarkan kita berada dekat dengan Allah. Ilmu membolehkan seorang hamba memahami bentuk ketaatan dan kesetiaan kepada Allah, mempelajari dan menghindari jalan yang dimurka-Nya. Ilmu juga membuka mata hati insan untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, di mana kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Ilmu diharapkan melahirkan Khalifatullah berpotensi memakmurkan bumi.
Mendampingi orang soleh. Seseorang yang istimewa kedudukannya di sisi Allah memiliki sesuatu tidak dimiliki manusia biasa. Tutur katanya mampu menghantarkan petunjuk, hidayah dan hikmah ke dalam hati yang mendengar, akhlaknya menjadi penyejuk mata orang memandang, jasa dan perjuangannya menjadi sebutan yang tidak lapuk ditelan zaman. Beruntung sesiapa yang bersahabat dengan mereka disebabkan amal soleh dan teladan ikhlas mampu menggerak hati ke jalan Allah dengan memperingatkan hamba-Nya berwaspada memilih sahabat sehidup semati, dunia akhirat.
Mengikuti sunnah Rasul dan Salafus soleh. Setiap mukmin wajib beriman Rasulullah SAW berperanan menghantarkan petunjuk hidayah kepada umatnya hingga akhir zaman. Jadi, mengapa ada golongan yang mengaku Muslim mencari petunjuk lain yang bukan dibawa Rasulullah? Fenomena mengada-adakan sesuatu urusan agama yang tidak pernah dilakukan baginda dan sahabatnya jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan fahaman baru yang menyalahi sunnah Rasulullah. Rasulullah pernah menyentuh perkara ini kepada Huzaifah Ibn al-Yaman, kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar kerana timbulnya unsur dakhan di kalangan mereka.

Sumber :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20090317092422/Article/index_html

Tuesday, March 10, 2009

DEB jadi 'kambing hitam'

SETIAP kali krisis ekonomi, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dijadikan ‘kambing hitam’. Kaum bumiputera didakwa ‘merampas’ hak orang lain sambil mereka yang membuat tuduhan sengaja menutup mata bahawa kaum lain juga mendapat faedah jauh lebih besar sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Kewujudan DEB yang dibentuk secara bersama-sama dengan kaum-kaum utama yang lain, sedikit sebanyak berjaya mengurangkan jurang kemiskinan, sekali gus mengelak berlakunya rusuhan kaum akibat pengagihan ekonomi yang tidak adil di negara-negara lain.
Bilangan golongan profesional bumiputera juga semakin meningkat berkat pelaksanaan dasar berkenaan berbanding tahun-tahun sebelum sekali gus mengurangkan jurang perbezaan kekayaan.
Tidak dinafikan bahawa pelaksanaan mungkin boleh diperbaiki dan dimantapkan untuk menjadikannya lebih efektif tetapi ini bukan bermakna DEB merupakan sebuah dasar yang tidak adil. Terdapat juga kuota yang dinikmati oleh bukan bumiputera sehingga mereka menjadi kaya raya. Malah, tidak kurang juga yang menjadikan bumiputera sebagai proksi untuk kepentingan mereka.
Berikut adalah pandangan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Sulaiman Mahbob dalam temu bual bersama wartawan Bisnes, AINUL ASNIERA AHSAN dan SARAH NADLIN ROHIM tentang perkembangan semasa DEB.
BOLEH Tan Sri berikan pandangan tentang kritikan pihak-pihak tertentu bahawa DEB tidak lagi sesuai sekarang?
SULAIMAN: DEB dirangka pada tahun 1971 sehingga 1990 untuk tempoh 20 tahun, tetapi hasrat dan matlamatnya juga digunakan dalam menyediakan dasar-dasar pembangunan negara seperti DEB dan dalam pembentukan Misi Nasional. Ini kerana, tugas pertumbuhan dan pengagihan masih belum selesai. Bagi mengurangkan perbezaan ekonomi antara ekonomi maju dan tidak maju, antara bandar dan luar bandar, moden dan tidak moden. Penubuhan DEB bertujuan mengurangkan perbezaan dan mencapai perkembangan yang seimbang dan kini ia diolah semula bagi mengikut konteks semasa.
Apakah maksud perubahan dibuat mengikut konteks semasa?
Sebagai contoh matlamat pemilikan bumiputera sebanyak 30 peratus masih belum tercapai pada tahun 1990. Oleh sebab itu, kerajaan telah melanjutkan syarat tersebut untuk jangka panjang sehingga tahun 2020. Seterusnya dasar membasmi kemiskinan kita juga teruskan hingga sekarang kerana ia merupakan dasar yang murni dan ternyata berhasil apabila paras kemiskinan kini berada pada kurang lima peratus. Sekiranya tiada DEB, kadar kemiskinan negara mungkin akan terus meningkat.
Para pengkritik DEB terus mendesak supaya dasar ini dikaji semula, apa pandangan Tan Sri?
Pada pendapat saya, DEB memang perlu diteruskan kerana mempunyai usaha murni yang ingin dicapai kerajaan tetapi ia perlu diselaraskan mengikut keadaan semasa dan kerajaan telah berbuat demikian. Jadi, tidak timbul soal lapuk atau tidak dasar tersebut kerana membasmi kemiskinan perlu diteruskan sampai bila-bila.
Tadi, Tan Sri melihat dari sudut membasmi kemiskinan, tetapi para pengkritik mempersoalkannya daripada aspek agihan ekonomi. Apa pendapat Tan Sri?
DEB telah meningkatkan pendapatan bumiputera dengan lebih cepat. Misalnya pada tahun 2004 pendapatan purata bumiputera adalah sebanyak RM2,711 setahun tetapi pada tahun 2007 ia telah meningkat sehingga 5.2 peratus kepada RM3,156 setahun. Kaum lain juga tidak ketinggalan kerana turut menyaksikan peningkatan. Pada tahun 2004 pendapatan purata kaum Cina adalah sebanyak RM4,437 setahun dan pada 2007 meningkat sebanyak 3.0 peratus kepada RM4,853 setahun. Purata pendapatan kaum India pada tahun 2004 sebanyak RM3,456 setahun dan pada tahun 2007 meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM3,799 setahun.
Sekiranya DEB tidak diwujudkan jurang pendapatan akan lebih luas. Pada masa yang sama, pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk memastikan pencapaian pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus, tetapi pada tahun 2004 hanya mencapai 19 peratus dan pada 2006 berada pada paras 19.4 peratus. Manakala pemilikan ekuiti bukan bumiputera pada tahun 2004 adalah sebanyak 40.8 peratus dan pada 2006 sebanyak 43.4 peratus. Oleh itu, dakwaan yang mengatakan DEB membantutkan perkembangan ekonomi bukan bumiputera adalah tidak tepat.
Soalnya kenapa masih kedengaran rasa tidak puas hati?
Itu saya tidak tahu. Saya ingin menegaskan di sini bahawa setiap projek yang kerajaan bantu atau laksana untuk membantu masyarakat miskin akhirnya akan sampai kepada orang kaya juga.
Sebagai contoh projek membaiki kemudahan asas akan diberikan kepada kontraktor dan pembekal barangan mentah, siapa sebenarnya mereka ini? Secara pandangan mata kasar bumiputera hanya menguasai 19.4 peratus sahaja, ini bermakna bukan bumiputera mendapat lebih 81 peratus. Jadi, apa yang kerajaan belanja semuanya akan dapat faedah dan membantu orang miskin.
Sekiranya kerajaan meningkatkan pengeluaran luar bandar, pengeluaran negara juga akan bertambah. Contoh lain yang kita boleh lihat ialah Felda atau Felcra. Selain meningkatkan sektor pertanian, agensi-agensi ini turut membantu anak-anak peneroka mendapat pendidikan tinggi dan apabila anak-anak ini keluar ke pasaran kerja mereka akan pergi ke sektor swasta seperti menjadi peguam atau akauntan. Ini akan membantu meningkatkan kualiti modal insan. Sekiranya tidak ada DEB, semuanya akan berada di takuk lama. Saya ingin tanya aspek DEB yang mana dikatakan salah?
Selain itu, ramai beranggapan DEB tidak lagi sesuai dalam keadaan globalisasi?
Jadi, waktu mana yang sesuai? Adakah tidak sesuai memberikan pendidikan kepada bumiputera, membasmi kemiskinan atau menggalakkan pegangan bumiputera? Yang mana tidak sesuai? Pertama, DEB sudah diubah suai, apa yang perlu dianjakkan telah dianjakkan. Antara instrumen DEB adalah seperti Suruhanjaya Pelaburan Asing (FIC) yang mewajibkan syarikat terbabit mempunyai 30 peratus pegangan bumiputera sebelum syarikat disenaraikan.
Dari segi FIC, kerajaan telah melonggarkan syarat dengan syarikat yang masih tidak akur dengan FIC masih boleh meneruskan perniagaan mereka tanpa sebarang tindakan diambil. Syarat kedua, sekiranya syarikat ingin memasuki pasaran modal mesti mengikut syarat yang ditetapkan kerajaan seperti perlu memiliki had 30 peratus untuk pelabur bumiputera. Selagi mereka hendak meneroka pasaran modal, syarat itu perlu dipatuhi. Pemilik syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan dengan menggunakan simpanan sendiri, mereka boleh teruskan. Buat masa ini kita masih mengkaji bagaimana hendak melonggarkan lagi syarat FIC.
Dari segi pekerjaan, banyak juga yang telah berubah sejak DEB diwujudkan. Bilangan profesional bumiputera sudah meningkat dengan peratusan akauntan pada 2005 sebanyak 21.5 peratus dan pada 2007 meningkat kepada 23.5 peratus. Begitu juga dengan profesion yang lain.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri ada menyatakan usaha meliberalisasi DEB secara berperingkat-peringkat, apa pandangan Tan Sri?
Kerajaan telah liberalisasi DEB sejak 1990 lagi. Sebagai contoh, pada tahun 1986 Tun Mahathir Mohamad pernah berkata, sekiranya sebuah syarikat berjaya mengeksport keluaran mereka sehingga melebihi 50 peratus, mereka boleh memegang 100 peratus pemilikan syarikat tersebut dan dasar itu kekal sehingga sekarang. Kemudian kerajaan memperkenalkan status Koridor Raya Multimedia (MSC) yang membenarkan pemilikan kepentingan sehingga 100 peratus.
Mungkinkah tanggapan negatif terhadap DEB timbul kerana penjelasan mengenai dasar itu kurang difahami dan diperhalusi oleh pengkritiknya?
Apa yang penting segala-galanya adalah fakta. Semuanya boleh dilihat dalam Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9, 2006-2010. Semua fakta adalah jelas. Pendapatan bumiputera meningkat, kalau tidak ada mungkin keadaan kita adalah lebih teruk dan masih berada di luar bandar. DEB dibuat berdasarkan pasaran, tidak timbul masalah merampas hak orang lain. Perkembangan DEB adalah dalam konteks ekonomi berkembang dan diagihkan mengikut keperluan.
Mengapa setiap kali berlaku masalah ekonomi, orang akan menyalahkan DEB?
Apa yang penting kita perlu melihat punca sebenarnya berlaku masalah dan bukan mencari 'kambing hitam' untuk dipersalahkan. Kita lihat sejarah pada tahun 1986 ketika masalah ekonomi yang berlaku berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dan eksport negara, sekali gus menjejaskan keupayaan kerajaan.
Pada 1998 krisis disebabkan tekanan ke atas ringgit dan banyak pinjaman tidak berbayar menyebabkan ekonomi negara merudum.
Krisis yang berlaku sekarang pula adalah disebabkan masalah gadai janji, sub prima dan masalah kredit di Amerika Syarikat (AS). Apabila orang ramai mula terjejas dengan apa yang berlaku kepada ekonomi semasa mereka mula menuding jari kepada DEB. Saya tidak nampak instrumen DEB yang mana menyebabkan masalah?. Apa yang saya nampak adalah mereka sendiri tidak produktif tetapi menyalahkan dasar kerajaan. Semua negara mempunyai dasar dan masalah mereka sendiri dan tidak terkecuali di AS.
Jadi maksud Tan Sri, negara-negara lain di dunia turut mempunyai DEB seperti mana di Malaysia?
Negara-negara lain pun ada cuma mereka menggunakan nama lain. Antara negara-negara tersebut ialah AS dan Thailand. Tapi saya tidak tahu mengapa di Malaysia dasar itu sering dipersoalkan. Itu yang saya tidak faham.

Sumber :http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Bersemuka: Sistem kapitalis jahanamkan nilai kemanusiaan

KRISIS ekonomi global yang sudah 'menjenguk' ke negara kita, memerlukan tindakan bukan saja oleh kerajaan dan badan tertentu, malah setiap individu. Namun, isu ini perlu dilihat dari segi sejarah elemen sistem kapitalis dan pendekatan Islam untuk menanganinya. Wartawan Berita Harian, HASLIZA HASSAN menemubual Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Nik Mustapha Nik Hassan, juga bekas Dekan Kuliah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk mengulas lanjut isu ini. Kewangan Islam utamakan keadilan, bantu golongan miskin berkesan tangani krisis antarabangsa Kemelut ekonomi kini melanda dunia dan negara kita turut terkena tempias itu. Jadi, apakah pendekatan sesuai untuk menangani krisis ekonomi ini, terutama tindakan individu.
Di sini, pandangan agama dan Islam ada sebagai pembuka minda, iaitu berbelanja ikut kemampuan dan keperluan. Ukur baju pada badan sendiri.... kata-kata orang tua itu penuh hikmah kerana fikirkan kemampuan dulu baru keperluan. Maknanya kembali kepada ideologi bersandarkan agama kerana sistem yang diasaskan bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan inilah masalahnya. Fahaman Marxis terpaksa hancur kerana bercanggah dengan nilai kemanusiaan, tidak boleh memiliki harta dan semua ditentukan pemerintah. Kapitalis pula kebebasan mutlak, layan nafsu hingga melakukan eksploitasi dan penindasan. Pendekatan kerohanian tidak ada. Dalam Islam ada fardu ain dan fardu kifayah. Harta awak saya tidak boleh ambil dan itu tidak boleh dipertikaikan tetapi kita dilatih dengan tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat contohnya melalui amalan zakat. Jika saya kaya, saya perlu bayar zakat bagi membantu mereka yang memerlukan. Sebaliknya dalam ideologi kapitalis, seperti lahirnya kadar faedah dalam sistem perbankan ialah untuk kepentingan diri. Pendekatan itu yang melahirkan kepincangan kerana tiada kasih sayang serta muafakat. Apa yang nak dipupuk ialah kasih sayang dan muafakat umat manusia. Bagaimana pula peranan organisasi seperti sektor swasta. Sektor awam dan swasta mesti memainkan peranan masing-masing. Tetapi sistem kapitalis tidak iktiraf gabungan peranan kedua-duanya. Hakikatnya sekarang mereka terpaksa iktiraf peranan kerajaan menyelamat syarikat kewangan yang menghadapi masalah seperti dilakukan Amerika Syarikat (AS). Sebenarnya, di samping peranan kerajaan, sektor swasta juga berperanan membangunkan negara dalam semua aspek, termasuk akhlak dan kemajuan ekonomi. Jika sektor swasta dapat berperanan secara positif dan produktif, sudah pasti bebanan sektor awam dapat dikurangkan. Ekonomi muafakat menjalin keharmonian dan kestabilan ekonomi. Di sinilah akhirnya kita melihat perlunya untuk kembali kepada agama yang jelas mempunyai cara membangunkan ekonomi dengan adil.
Apa kaitan krisis ekonomi dengan sistem ideologi. Krisis ekonomi dihadapi dunia bukan sesuatu yang baru tetapi keadaan kini tercetus berikutan kumulatif yang berlaku selama ini, disebabkan oleh sistem itu sendiri. Ini krisis ideologi, bukan krisis tidak cukup barangan atau tidak cukup makan. Sistem kapitalis yang diguna pakai menimbulkan banyak masalah kepada kebajikan rakyat. Berapa bilion orang hidup di bawah paras kemiskinan di dunia kerana sistem yang dominan di seluruh dunia sekarang ini ialah sistem kapitalis. Apa yang berlaku seperti kemiskinan di serata dunia menggambarkan wujudnya ketidakadilan dan penindasan. Ini bukan baru. Jadi apa yang boleh kita rumuskan, krisis ekonomi yang berlaku sekarang berpunca daripada sistem yang bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Seperti keruntuhan Maxis pada awal 1990-an kerana bercanggah dengan fitrah kemanusiaan. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat sekarang, mereka menanggung hutang yang banyak iaitu AS$50 trilion (RM185 trilion) menyebabkan mereka berdepan masalah ekonomi. Ia juga berpunca daripada sistem ideologi tidak memenuhi fitrah manusia. Ekonomi AS sekarang tenat dan jika hutang makin bertambah, bagaimana hendak bayar hutang. Bagaimana sistem ideologi kapitalis ini menjurus kepada keadaan sekarang jika ia sudah dipraktikkan sejak dulu, kenapa kesan cuma dirasai hari ini. Kesannya dirasai hari ini kerana manusia sudah lari jauh daripada fitrah kehidupan sebenar. Memang sistem ini sudah dipraktikkan dulu tetapi sekarang kita sedar sudah tidak mampu untuk memikul bebanan hutang dan ia terus terkumpul disebabkan sistem yang mengawal kehidupan itu. Maka lebih jelas sekarang bahawa sistem ideologi ini tidak memenuhi tuntutan manusia kerana asas kepada falsafah sistem kapitalis bersandarkan kebendaan iaitu materialisme. Falsafah ini melihatkan faktor kebendaan sebagai penentu segala-galanya hingga manusia juga ditakrifkan sebagai manusia ekonomi. Falsafah itu menjadikan andaian hidup untuk memuaskan nafsu, maka lahirlah pendekatan hidup hendonisme. Daripada pemahaman hidup sedemikian, lahirlah gelagat kepenggunaan, hidup untuk memperoleh barangan dan perkhidmatan.
Ini juga ada kaitan dengan gaya hidup yang suka berhutang dan pendekatan ideologi kapitalis Ya, ini mewujudkan masyarakat berhutang. Disogok pula dengan mekanisme kewangan seperti penggunaan kad kredit. Ini termasuk individu, kerajaan dan syarikat. Hidup di luar kemampuan kerana andaian manusia untuk memenuhi kepuasan nafsu. Pendekatan pertama ideologi ini sudah melihat kepincangannya kerana disebabkan melihat kebendaan maka lahirkan kerakusan. Itu yang datang pula konsep laisser faire atau kebebasan mutlak. Ciri kedua ideologi kapitalis ialah individualisme yang mana kejayaan dinilai dengan mempamerkan kekayaan seperti rumah besar. Kemampuan kita buat rumah RM100,000 tetapi buat rumah harga RM200,000 kerana hendak tunjuk pada orang, kita berjaya. Akhirnya tidak cukup duit, maka berhutanglah. Kelakuan ini menyebabkan kita menjadi hamba hutang dan itulah gaya hidup yang berlaku sekarang. Berdasarkan ideologi kapitalis, apa yang kita buat untuk kekayaan sendiri, menyogokkan kepentingan diri dan apabila kepentingan diri diberi tempat istimewa, lahirnya kerakusan serta penindasan. Keadaan ekonomi dalam negara kini dikatakan sudah terpalit meskipun belum lagi meleset Doktor apabila dia periksa nadi, tengok mata dan mulut, dia sudah boleh buat gambaran mengenai penyakit itu. Kita lihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Oktober hingga Disember 2008, KDNK kita ialah RM131.3 bilion, suku ketiga sebelum itu – Julai hingga September 2008, KDNK kita RM136.2 bilion. Kejatuhan 3.6 peratus itu menunjukkan penguncupan untuk tiga bulan. Tetapi ukuran ekonomi biasanya untuk setahun namun, jika tiga bulan terakhir mengucup 3.6 peratus, itu sudah ada tanda. Kedua kita lihat pula mengikut sektor seperti sektor pembuatan merosot 12 peratus daripada RM40.3 bilion kepada RM35.3 bilion, pertanian 10.8 bilion kepada 9.9 bilion (RM1 bilion dalam dalam masa tiga bulan), begitu juga pembinaan jatuh daripada RM4 bilion kepada RM3.9 bilion. Eksport kita juga jatuh suku ketiga tahun lalu (Julai hingga September) kita eksport RM185 bilion. Suku keempat Oktober hingga Disember tahun lalu eksport kita ialah RM151 bilion, kejatuhan 18 peratus. Begitu juga import jatuh 17 peratus antara suku ketiga dan keempat, sektor pembuatan jatuh 20 peratus, elektronik jatuh 20 peratus, minyak jatuh daripada RM12.4 bilion kepada RM8.3 bilion, kelapa sawit daripada RM15.5 bilion kepada RM9.3 bilion. Kita negara pengeksport ke-17 terbesar dan lebih kurang 60 peratus ekonomi kita bergantung pada perhubungan dengan luar negara. Apa gambarannya? Ciri ini menggambarkan masalah akan tiba dan sudah tiba tetapi tidak turun ke bawah lagi. Bagaimanapun, sudah ada yang dibuang kerja. Petanda sudah ada dan dunia tidak nampak pintu lagi sebaliknya mengharap kepada pakej rangsangan dikemukakan Presiden AS, Barack Obama sebanyak AS$878 bilion masih tidak mampu memulihkan ekonomi AS dalam tempoh terdekat. Mereka terpaksa meminjam juga untuk membiayai pakej itu. Pinjaman dalam konteks Amerika, dia isu bon dan yang banyak beli bon sekarang ialah China diikuti Jepun dan Asia Barat. Tetapi berapa lama? Memang kita tidak mahu rakyat panik tetapi ini adalah kenyataan dan kenyataan ini tidak memalukan. Jika anda dibuang kerja, bukan memalukan, bukan kerana prestasi tidak baik tetapi kerana keadaan memaksa. Sekarang tidak boleh kata saya prestasi baik tidak boleh dibuang kerja. Jika hujan lebat menyebabkan banjir dan rumah kita rosak, itu bukan bermakna rumah kita tidak bagus tetapi hujan di luar dugaan. Memang kita tidak mahu rakyat panik tetapi persediaan itu penting. Apa saranan bagi menghadapi situasi ini terutama dalam konteks Malaysia sendiri. Kerajaan sudah ada persediaan melalui Bajet Mini pertama dan kedua yang akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, hari ini. Bagaimanapun, kita bakal berdepan dengan isu membiayai kerana pendapatan kerajaan juga menurun disebabkan minyak jatuh, komoditi kelapa sawit, getah juga jatuh. Jika kita berjiwa besar, kita tidak boleh mengguna dasar fiskal dan kewangan saja mengatasi masalah itu. Ini krisis ideologi dan penyelesaian ialah transformasi ideologi. Bukanlah bermakna dasar fiskal dan kewangan tidak boleh guna tetapi pemerintah kena tengok lebih jauh untuk jangka masa panjang. Untuk meredakan keadaan, dasar fiskal boleh tetapi perlu ada alternatif. Ini yang dikatakan teras kepada keadilan ekonomi iaitu penyusunan ekonomi semasa menepati tabii kemanusiaan bermasyarakat. Sistem kapitalis tidak sesuai lagi kerana jika sistem itu baik tidak wujud golongan miskin, tidak wujud mereka yang melarat dan tidak akan wujud penindasan. Sudah tiba masa membina serta mendidik pandangan hidup yang sempurna. Sistem ekonomi hendaklah berusaha kepada pelaksanaan prinsip keadilan dan muafakat dalam penyusunan ekonomi bernegara. Kita mesti menukar pandangan rakyat terhadap kemelut ekonomi di samping saranan supaya hemat berbelanja dan tidak membazir. Kita perlu ada persediaan lebih awal, kemuncaknya kena berjiwa besar kepada pendekatan bersandar nilai kemanusiaan.
Sumber :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/20090309220739/Article/

Minda Pengarang: Perpaduan penting untuk kelangsungan Melayu, Islam

UMAT Islam perlu melihat kembali kemelut politik, sosial dan ekonomi sekarang dengan bermuhasabah diri sempena sambutan Maulidur Rasul yang disambut di seluruh negara, semalam. Sambutan yang berpusat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sehingga di masjid dan surau di kampung terpencil, sepatutnya menyedarkan masyarakat Islam mengenai masalah yang sedang dihadapi. Dengan tema sambutan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah', umat Islam perlu kembali menghayati kesatuan dan perpaduan yang kini semakin menipis di kalangan mereka akibat pelbagai pertelagahan kerana perbezaan fahaman politik dan percanggahan pendapat. Kemelut ini semakin jelas melebar kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangan semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu. Sekiranya ia terus dibiarkan, umat Islam di negara ini bukan saja gagal mewujudkan perpaduan seperti dituntut agama malah bakal melemahkan lagi kedudukan mereka di negara ini. Sudah tiba waktunya kita kembali menghayati sejarah kehidupan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW yang berusaha keras untuk membentuk masyarakat melalui akidah Islamiah sehingga mampu mewujudkan kesatuan yang dikagumi. Rasulullah SAW berdepan dengan cabaran getir, terutama ketika awal penyebaran Islam di Makkah sehingga Baginda terpaksa berhijrah ke Madinah dan berjaya membentuk kesatuan ummah yang akhirnya mencatat sejarah penting dalam perkembangan Islam di seluruh dunia. Kemelut yang dihadapi umat Islam kini perlu dirujuk kembali kepada sejarah perjuangan Rasulullah SAW sekiranya mereka ingin kembali menjadi masyarakat dan bangsa yang dihormati. Seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan sambutan itu semalam, Rasulullah SAW amat mementingkan kesatuan dan perpaduan sehingga membolehkan Islam menjadi agama yang berpengaruh sehingga kini. Malangnya, sebahagian umat dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka tercetus pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa manusia lantaran kemurkaan Allah. Jelas sekali masyarakat Islam kini bukan saja berdepan dengan perbezaan aliran politik dan pendapat, malah budaya buruk fitnah-memfitnah dan benci-membenci mulai menghancurkan ummah. Sehubungan itu, pemimpin Islam dari semua peringkat perlu duduk semeja untuk berbincang bagi menangani masalah dihadapi kini. Keadaan yang berlaku cukup gawat dan membimbangkan semua pihak, terutama mereka yang cintakan perpaduan. Kita tidak boleh membiarkan masalah umat Islam ini berterusan sehingga menjejaskan keselamatan dan kemakmuran negara. Selepas 1,430 tahun Nabi Muhammad SAW membina kesatuan ummah yang teguh, kita perlu bermuhasabah diri bukan saja untuk mencari jawapan kenapa kita berpecah belah tetapi kembali bersatu seperti dipesan Baginda. Ini penting bagi meneruskan kelangsungan Melayu dan Islam di negara tercinta ini.

Sumber :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Rencana/20090309220815/Article

7 Ayat Cinta

Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan..

1.Bismillahhirrahma nnirrahim: pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
2.Alhamdulliah: pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.
3.Astagfirrullah: jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.
4.Insyaallah: jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.
5.Lahaulawalaquatai llahbillah: bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.
6.Innalillah: jika menghadapi musibah atau melihat kematian.
7.Laailaahaillallah: bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak- banyaknya.

Amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang yang terpilih oleh Allah.

Wednesday, March 4, 2009

Golongan bodoh sombong tak dapat rahmat

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan itu) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa." (Hadis riwayat al-Bazzar) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan Allah. Orang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi. Oleh itu, setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada: Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain.
Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu). Mendengar atau mengikuti majlis ilmu. Menghormati atau mencintai satu daripada atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
Dengan adanya sifat disebutkan di atas, kehidupan seseorang itu sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan benar. Sementara mereka yang tidak termasuk dalam golongan itu atau 'bodoh sombong', mereka adalah golongan bakal mendapat kebinasaan kerana tidak ada pimpinan dapat memandu kepada kebaikan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ditanya mengenai ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang daripada api neraka pada hari kiamat." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi) Islam menghargai ilmu dan ilmuwan sehingga kedudukan ilmu serta ulama dipandang tinggi seperti firman Allah bermaksud: "Nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujaadalah, ayat 58)
Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat berpengetahuan serta memberikan gambaran benar mengenainya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang mengamal ilmu itu. Mereka yang tidak kedekut ilmu juga akan dilimpahkan rahmat Allah kerana semua makhluk Allah mendoakan supaya diberikan balasan sebaiknya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi, sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara baik kepada orang ramai." (Abu Umamah) Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Dipetik dari : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20090304222228/Article/index_html

Minda mati jika kontang ilmu

Budaya membaca mampu mematangkan fikiran, tinggalkan kejahilan

TIADA buku tanpa pena dan kertas. Gersang buku, manusia akan jadi kaku. Jika tidak tahu menghargai manfaat tulisan, masyarakat tidak akan digelar berilmu, apatah lagi bijak pandai. Hari ini, cabaran kehidupan menuntut umat Islam terus mendampingi buku untuk mengendali liku-liku kehidupan dengan penuh hemah, bukan gundah dan tidak betah.

Buku melambangkan ilmu kerana di dalamnya tercatat segala yang perlu dipelajari sama ada sebagai manusia atau hamba. Ibarat cahaya menerangi kegelapan, ilmu dijadikan kewajipan ke atas setiap umat Islam supaya mampu meninggalkan kejahilan.



Kepentingan ilmu diakui apabila Allah menurunkan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW iaitu surah al-'Alaq yang bermaksud: "Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui-Nya."

Tiada siapa tahu hakikat kebesaran Allah tanpa membaca kitab suci al-Quran. Tidak juga jika tidak cuba memahami maksudnya melalui bahasa yang difahami. Sama ada difahami melalui pembacaan, ajaran pakar tafsir yang ahli dalam bidangnya atau gandingan halaqah yang membincangkan makna setiap ayatnya, semuanya berbalik kepada pembacaan.

Darjat orang berilmu dengan yang sebaliknya wajar diperbandingkan. Hakikat ini dirakamkan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah lagi kepada-Nya: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Allah juga meletakkan kedudukan orang berilmu itu lebih tinggi dan mulia, seperti disebut dalam mafhum-Nya yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)

Hari ini pena dan tulisan boleh dimanfaatkan dengan begitu mudah, kadangkala tanpa perlu berhujan dan berpanas, kita boleh membaca di skrin komputer tanpa susah payah membelek helaian, yang tidak berkudrat pun boleh mendapatkan ilmu di layar komputer bila-bila masa, tinggal lagi kemahuan mesti dipaksa.

Sudah tentu kita membaca dengan harapan ilmu yang terkandung di dada semakin bertambah, supaya semakin matang dan berpemikiran menerajui diri dalam kehidupan. Gencatan akhlak akibat terlalu leka dengan hiburan dan tuntutan material melampau menyusutkan modal insan yang berketrampilan dalam ilmu serta moral.

Keadaan ini berlaku di mana-mana saja dalam dunia hari ini, cuma yang mempertahankan akidah dan keimanan ialah ilmu dan agama yang dijunjung. Bayangkan jika ilmu tidak lagi menjadi agenda negara dan setiap warga mengambil mudah pendidikan, sudah pasti tiada apa lagi yang tinggal.

Mengharapkan hati dan jiwa yang bersatu, kadangkala tidak kena dengan kepentingan sesuatu, tetapi jika ada ilmunya sudah tentu umat Islam mengkesampingkan sedikit sangsi sesama sendiri demi agama, bangsa dan negara.

Manusia yang dilantik sebagai khalifah di bumi Allah ini dibezakan dengan makhluk lain melalui kemampuan berfikir. Kemahiran ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika tugas minda tidak dibekalkan dengan keperluan sepatutnya seperti pembacaan dan pengalaman.

Allah mengajar hamba-Nya supaya memohon untuk ditambahkan ilmu yang ada, seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku." (Surah Taahaa, ayat 114)

Justeru, tuntutan menuntut ilmu khususnya berkaitan akidah, ibadat, akhlak, syariah dan muamalat amatlah dituntut supaya umat Islam tidak mudah terpesong dalam ranjau kehidupan di dunia yang terlalu mencabar ini.

Banyak kisah mengajar kita supaya sentiasa beringat, kelonggaran akidah kerana tipu daya dunia juga berlaku kerana kontang ilmu, sehingga ada sanggup menukar agama, membunuh diri, minum arak, berzina, bersosial tanpa batasan hukum, malah menggadaikan agama kerana wang ringgit, wanita dan kuasa yang sementara.

Dunia moden menuntut umat Islam mengejar kemajuan, sains dan teknologi yang menjadikan dunia semakin kecil perlu dihargai dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tetapi pencerobohan ke atas kehidupan peribadi menggunakan sains dan teknologi yang dikuasai dengan ilmu contohnya menunjukkan betapa ilmu tidak bermakna tanpa saringan akidah dan akhlak.

Ibu bapa sebagai guru pertama yang memberi pendidikan kepada anak perlu terlebih dulu mengisi dada dengan ilmu, walaupun ilmu bukan saja dilambangkan dengan segulung ijazah, tetapi juga contoh teladan yang baik untuk diikuti.

Ibu bapa perlu menyediakan ruang secukupnya untuk mendidik secara formal mahupun tidak formal, supaya setiap anak mengerti hakikat kepentingan ilmu sedari kecil.

Peluang untuk memilih sama ada menuntut ilmu atau tidak adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku hari ini kerana sebagai negara yang semakin disegani seluruh umat Islam di dunia, ilmu adalah lambang ketinggian dan kebanggaan negara.

Biarlah setiap Muslim berbeza dengan yang lainnya kerana ilmu. Insaf dengan hakikat penciptaan yang direka sebegitu rupa sebagai khalifah, inilah masanya umat Islam berfikir bagaimana untuk kembali kepada ilmu, di kala dunia Islam resah kerana ekonomi yang susut, akhlak merosot, perpaduan direnggut, tanah air direbut dan politik serabut.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Dipetik dari :

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20090304222154/Article